PASIR MAS: Seramai 241 pelajar miskin di
 tiga buah sekolah dan sebuah rumah anak yatim di negeri ini menerima 
bantuan peralatan pembelajaran dari Hotel Renaissance Kota Bharu (gambar).
Pengurus Besar hotel tersebut, Izudin Merican berkata, sumbangan di 
bawah projek khas 'Impian Tercapai' itu membabitkan peruntukkan sebanyak 
RM26,510.
"Kita mahu anak-anak ini gembira dan lebih bermotivasi dalam 
pelajaran yang merupakan aspek penting bagi mengubah kehidupan mereka 
pada masa hadapan. "Melalui program ini juga, kita mahu membantu mengurangkan beban keluarga yang kurang berkemampuan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan 
sumbangan berkenaan di Sekolah Jenis Kebangsaan China (SJKC) Poy Wha, 
Chetok di sini semalam. Yang turut hadir Guru Besar sekolah tersebut, Chin Joo Wass. 
Antara sekolah yang menerima bantuan itu ialah Sekolah Kebangsaan 
Pendek, Kota Bharu, Pusat Jagaan Kesayangan Mumtahanah dan Sekolah 
Kebangsaan Tanjong Mas di Pengkalan Chepa. Pelajar terbabit menerima pakaian seragam sekolah, beg dan alat tulis.
Izudin memberitahu, aktiviti tersebut merupakan acara tahunan yang 
dianjurkan pihaknya dan sebahagian daripadanya adalah sumbangan para 
pelanggan hotel tersebut.
Katanya, sumbangan itu merupakan tradisi yang diadakan sejak lapan 
tahun lalu bagi membantu mengurangkan perbelanjaan ibu bapa apabila 
musim persekolahan bermula dan pelajar yang dipilih adalah dari kawasan 
luar bandar.
"Saya berharap sumbangan itu dapat menggembirakan pelajar terbabit setelah bermulanya sesi persekolahan 2014. "Kita harap sumbangan ini dapat memberi dorongan kepada mereka untuk 
berusaha gigih dan mencapai kejayaan cemerlang dalam pelajaran," 
katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 6 Januari 2014 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan