Annuar Musa (tengah) melihat proses baik pulih tebing Sungai Melor yang runtuh di Kampung Melor, Kota Bharu, Kelantan, semalam. - BERNAMA |
KOTA BHARU: Kerajaan Pusat memperuntukkan RM650,000 bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih tebing dan melebarkan aliran Sungai Melor dalam usaha menangani masalah limpahan air ketika hujan.
Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa memberitahu, daripada peruntukan itu, RM500,000 bagi membina benteng dan RM150,000 lagi melebarkan aliran sungai.
"Sebelum ini kita telah mengemukakan rayuan mengenai masalah hakisan tebing Sungai Melor ini dan ia telah mendapat perhatian Jabatan Perdana Menteri apabila peruntukan serta-merta RM500,000 diluluskan.
"Selain itu, Kerajaan Pusat juga telah menambah peruntukan tambahan RM150,000 untuk memastikan laluan air sepanjang 500 meter dapat dilaksanakan segera. Kerja-kerja pelaksanaan terus giat dijalankan dan dijangka siap tidak lama lagi," katanya kepada pemberita ketika mengadakan tinjauan di Sungai Melor di sini hari ini.
Annuar berkata, setakat ini, kerja-kerja membaik pulih tebing sungai itu dilihat sudah dapat menyelesaikan masalah hakisan apabila tiada sebarang runtuhan berlaku semasa hujan lebat.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 3 Januari 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan