Sebahagian wakil tahfiz dan rumah anak yatim yang menerima infaq kambing, semalam. |
BACHOK: Lapan pusat tahfiz dan rumah anak-anak yatim dari beberapa daerah menerima infaq kambing daripada orang ramai yang dibuat melalui Elham Q Agro Farm, dekat sini semalam.
Pengarah Urusannya, Shawal Akbar Mohamad berkata, program julung kali diwujudkan di Kelantan itu membolehkan orang ramai membuat infaq ke atas kambing untuk diagihkan kepada pusat tahfiz dan rumah anak yatim.
Menurutnya, ia diberikan terus kepada pihak berkenaan untuk disembelih dan dijamu kepada penghuni tempat tersebut.
“Ini adalah program julung kali yang pernah diwujudkan di negeri ini dan orang ramai boleh membuat infaq dengan sumbangan serendah RM100. Mereka yang membuat infaq boleh menulis nama selain niat atau hajat.
“Ini adalah sebahagian daripada khidmat kami mengikut syariat untuk membantu golongan yatim dan pelajar tahfiz.
Baru sebulan beroperasi kami sudah mempunyai perancangan tersendiri dan hari ini lapan pusat tahfiz dan rumah anak yatim menerima lima ekor kambing,” katanya kepada Sinar Harian semalam.
Antara penerima infaq tersebut termasuk Rumah Anak Yatim Salimah (RAYS) dari Bachok, pusat tahfiz dari Kota Bharu, Pasir Tumboh, Tok Bali dan Beris Lalang.
"Insya-ALLAH program ini akan kita teruskan dari semasa ke semasa untuk menggalakkan amalan infaq,” katanya.
Manakala, wakil Madrasah Tahfiz Darul Islah Beris Lalang, Md Ghazali Husain berkata, amalan infaq dan sedekah amat digalakkan dalam Islam terutamanya membantu golongan asnaf.
Beliau berkata, ini adalah pertama kali pihaknya menerima infaq secara rasmi daripada orang tengah yang memberikan kemudahan infaq kambing untuk orang ramai.
“Sejak beroperasi lebih enam tahun lalu, kami ada terima sedekah dan zakat daripada individu tetapi tidak secara rasmi seperti ini.
“Ini danggap sebagai sokongan untuk madrasah kami dan langkah yang baik untuk menggalakkan amalan infaq dalam usaha kita mendekatkan diri dengan ALLAH SWT, di samping membantu golongan asnaf. Di tempat kami ada 70 pelajar yang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk anak yatim dan miskin,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 13 Januari 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan