PETALING JAYA: Pelakon dan penyanyi Anding tidak akan menerima
mana-mana tawaran berlakon sekiranya watak yang diberi memerlukan dia
melakukan aksi ranjang.
Anding atau nama sebenarnya Anding Indrawani Zaini, 30, berkata, dia
sanggup menolak watak sedemikian walaupun diberi ganjaran lumayan demi
menjaga hati keluarganya.
"Sebelum ini saya pernah menerima tawaran untuk berlakon filem.
Memang saya tahu, berlakon filem dapat menguatkan profil sebagai seorang
pelakon, tetapi apabila diminta berlakon aksi ranjang untuk beberapa
babak, saya terus tolak.
"Saya tahu watak sebegitu boleh mencetuskan kontroversi dan apatah
lagi apabila mak dan ayah saya tonton aksi saya dalam filem tersebut,
mereka pasti akan terkejut," katanya.
Tambah Anding, walaupun sebagai seorang lelaki, kesan daripada
lakonan aksi seperti itu tidaklah terlalu besar berbanding jika ia
dilakonkan oleh pelakon wanita, namun baginya, sudah menjadi prinsip
untuk dia tidak mengambil tawaran lakonan yang boleh mencetuskan
kontroversi.
Sementara itu, Anding memberitahu, dia bersyukur apabila pihak
penerbit mula memberinya peluang berlakon drama sehingga memaksanya
untuk berhenti daripada menjadi jurulatih peribadi dalam penjagaan badan
dan kesihatan.
Katanya, walaupun drama yang dilakonkannya tidak popular, namun ia
dianggap sebagai satu petanda baik memandangkan sebelum ini Anding
kurang diberi tawaran berlakon.
"Sekarang ini saya banyak berlakon dalam drama-drama untuk siaran RTM
(Radio Televisyen Malaysia). Mungkin ramai yang tidak sedar, tetapi
bagi saya, ia sudah cukup baik.
"Malah saya juga sibuk mengendalikan program pengembaraan iaitu Klik Klik di TV1. Saya harap, ia adalah satu perkembangan positif untuk mengekalkan momentum kerja lakonan saya," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, lakonan Anding dapat disaksikan menerusi drama Dan Calonnya Adalah.. setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 12 tengah hari di laman web www.tonton.com.my/dancalonnya bermula 12 Disember 2013. Antara pelakon lain yang turut terlibat ialah Ikhwan, Faralyna Idris, Shazliana, Maria Tunku Sabri dan Dafi.
Sumber: mStar Online | 2 Januari 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan