![]()  | 
| Zawawi Othman (tengah) bersama Ismail Dollah (kiri) memotong riben pelancaran membina dua buah kapal penumpang aluminium di Tok Bali dekat Pasir Puteh, Kelantan, semalam. | 
 PASIR PUTEH: Pembangunan pesat industri
 perikanan dan usaha merealisasikan Tok Bali sebagai bandar baharu 
nelayan dapat dilaksanakan dengan lancar sekiranya tampuk pentadbiran 
negeri Kelantan diambil alih Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya 
umum lalu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerak, Zawawi Othman berkata, 
kawasan berpotensi dimajukan sebagai pusat ekonomi Pantai Timur 
berasaskan industri perikanan, sektor perkapalan dan aktiviti hiliran 
pelancongan itu sepatutnya dipacu pesat oleh Kerajaan Pas Kelantan.
Beliau berkata, sehingga kini, semua projek yang dirancang oleh 
Kerajaan Pas Kelantan dengan kerjasama pihak swasta di kawasan tersebut 
seperti yang diumumkan pada pilihan raya umum yang lalu masih belum 
dilaksanakan.
"Setakat ini, apa yang ada di sini dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat 
seperti pelabuhan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bernilai RM90 
juta dan penempatan semula nelayan Tok Bali oleh LKIM di kawasan seluas 
lebih 44 hektar menerusi 300 unit rumah oleh Kementerian Kemajuan Luar 
Bandar dan Wilayah berjumlah lebih RM18 juta.
"Sehingga kini seramai 200 nelayan telah mendiami rumah berkenaan 
dengan penyediaan projek hiliran seperti menternak ikan air tawar dan 
air payau serta pembinaan jeti khas nelayan kecil bernilai RM1.2 juta 
dalam lokasi pelabuhan LKIM yang dijangka siap pada pertengahan tahun 
ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan 
pelancaran pembinaan dua buah kapal penumpang aluminium oleh Semerak 
Shipyard & Maritime Engineering Sdn. Bhd., (SSME) dan majlis 
menandatangani perjanjian persefahaman dengan syarikat Seawealth 
Maritime Services Sdn. Bhd., (SMS) di Tok Bali, dekat sini hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif SSME, Ismail Dollah dan Ketua Pegawai Eksekutif SMS, Mohd. Azir Marzuki.
Zawawi yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Puteh berkata, kepesatan 
pembangunan di kawasan itu juga perlu diberi fokus utama oleh Kerajaan 
Pas Kelantan kerana ia adalah lokasi yang menjadi pemangkin baru 
perkembangan ekonomi di negeri ini selain bakal menyediakan peluang 
pekerjaan kepada penduduk.
"Selain itu, Kementerian Kewangan telah meluluskan lesen untuk 
pangkalan bekalan bagi tujuan industri minyak dan gas luar pantai kepada
 East Coast Terminal Sdn. Bhd., untuk beroperasi di Tok Bali juga bakal 
memberi manfaat kepada penduduk setempat untuk mendapatkan pekerjaan.
"Berdasarkan perancangan, pelabuhan tersebut akan memberi kemudahan 
kepada kapal-kapal dagang dari Laut Cina Selatan mengeskport produk 
mereka ke negara-negara ASEAN, Jepun dan Korea Selatan pada masa akan 
datang di samping menggalakkan peningkatan eksport barangan tempatan ke 
negara luar," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 26 Januari 2014 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan