PASIR PUTEH: Majlis Daerah Pasir Puteh 
(MDPP) menggunakan pendekatan terbaharu dengan menyediakan perkhidmatan 
tong sampah bergerak dalam usaha meningkatkan kualiti kebersihan dan 
keceriaan persekitaran bandar itu.
Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan MDPP, Shamsuddin Che 
Hamid berkata, tiga petugas khas masing-masing dibekalkan dengan sebuah 
motosikal roda tiga dan dilengkapi dengan alat memungut sampah 
bertanggungjawab memantau dan menjaga kebersihan di kawasan tersebut. 
Beliau berkata, penyediaan tiga buah motosikal adalah mencukupi bagi 
memastikan keseluruhan kawasan bandar bebas daripada sampah sarap.
"Unit bermotosikal ini adalah anggota sokongan kepada petugas yang 
memunggah sampah secara berkala mengikut jadual yang ditetapkan.
"Mereka juga turut bertanggungjawab membersih persekitaran kawasan 
tertentu termasuk dilokasi yang digunakan sebagai tapak program 
tertentu," katanya kepada pemberita di sini hari ini. 
Shamsudin bagaimanapun meminta orang ramai dan pengunjung supaya memberi kerjasama serta memastikan bandar tersebut bersih. 
Katanya, konsep gotong-royong yang diterapkan oleh pengurusan 
organisasi MDPP sejak beberapa tahun lalu akan diteruskan dan ia menjadi
 program utama untuk membebaskan bandar itu daripada sampah-sarap.
"Apa pun, pengunjung dan pengguna diminta memberi kerjasama padu 
untuk mengekalkan kebersihan bandar dengan tidak membuang sampah di 
merata tempat termasuk dalam longkang di tepi bangunan atau jalan. 
"Persekitaran bersih menyerlahkan imej terbaik dalam pengurusan MDPP 
di samping beramal mengerjakan kebajikan memastikan masyarakat bebas 
daripada dijangkiti penyakit berbahaya disebabkan persekitaran yang 
kotor," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 8 Januari 2014 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan