Roomai Nor Ali (kiri) memberi sokongan kepada dua warga emas yang menjalani aktiviti senaman di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Kota Bharu, baru-baru ini. |
KOTA BHARU: Warga emas ditakrifkan
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebagai orang yang berumur 60
tahun ke atas hasil resolusi yang dibuat pada Persidangan Umur Sedunia
1982 di Vienna, Austria.
Kemajuan dalam bidang perubatan dan kesihatan telah membantu
meningkatkan kualiti hidup masyarakat masa kini sekali gus menjadikan
jangka hayat manusia semakin panjang dan lebih ramai warga emas mampu
terus memberi sumbangan yang besar.
Malah negarawan ulung, Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi testimoni
terbaik betapa usia tua bukan penghalang untuknya terus aktif serta peka
melemparkan idea bernas dan tajam kepada isu-isu dalam dan luar negara.
Contoh sama dipamerkan bekas Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul
Aziz Nik Mat yang baru sahaja bersara Mei lalu pada usia 82 tahun
setelah lebih 22 tahun menerajui tampuk pentadbiran negeri ini.
Bagaimanapun, secara umumnya, warga emas yang sudah melewati
pertengahan umur ataupun yang tidak lagi terbeban dengan urusan nafkah
hidup akan tercari-cari sesuatu untuk mengisi masa terluang.
Pada usia sebegini, mereka biasanya tinggal keseorangan atau hanya
berdua dengan pasangan masing-masing kerana anak-anak sudah mempunyai
kehidupan dan keluarga sendiri. Pada saat inilah, mereka amat memerlukan sokongan dan sudah tentu
sokongan daripada kalangan 'rakan sebaya' adalah yang terbaik kerana
saling memahami setiap keperluan dan kehendak diri.
Sehubungan itu, penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) yang
dahulunya dikenali dengan nama Pusat Jagaan Harian Warga Emas (PJHWE) di
sesebuah komuniti menjadi jawapan kerana ia menyediakan kemudahan
kepada warga emas menjalani aktiviti secara bersama dengan rakan lain
sekali gus menjadi kekal aktif daripada hanya dibiar tinggal
bersendirian di rumah.
Terdapat banyak pusat serupa di seluruh negara dan PAWE Kemumin di
Pengkalan Chepa yang terletak kira-kira 10 kilometer dari pusat bandar
Kota Bharu menjadi satu-satunya pusat harian orang tua di negeri ini.
Setiausaha Pengurusan PAWE Kemumin, Roomai Nor Ali berkata,
pusat yang mula beroperasi pada 2006 tersebut ditadbir oleh Jawatankuasa
Pengurusan yang dilantik Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri dan
perjalanan operasinya berada di bawah pengawasan Majlis Pusat Kebajikan
Semenanjung Malaysia (MPKSM).
Beliau berkata, pusat tersebut terbuka kepada warga emas yang masih
mampu menguruskan diri dan sehingga kini mempunyai keahlian seramai 500
orang dari umur 56 sehingga 70-an sekitar Kota Bharu dan Pengkalan Chepa
dengan kira-kira 250 daripadanya adalah ahli yang aktif.
Katanya, pusat yang dibuka pada setiap hari Sabtu hingga Rabu dari
pukul 8 pagi hingga 4.30 petang tersebut mempunyai pelbagai kelengkapan
yang boleh digunakan warga emas secara percuma termasuk aktiviti seperti
kelas pengajian al-Quran dan agama.
"Kami mempunyai gimnasium sendiri lengkap dengan peralatan seperti treadmill, basikal senaman dan kerusi urut dengan kos keseluruhan berjumlah RM50,000.
"Selain itu juga, pusat ini mempunyai alatan fisiologi, bilik
mesyuarat, bilik rehat, bahan bacaan, kemudahan komputer dan Wi-Fi serta
kemudahan ruang untuk ahli-ahli yang mahu mengadakan sebarang majlis.
"Kami juga mempunyai sebuah van di bawah Unit Penyayang JKM negeri
bagi menyelesaikan sebarang masalah pengangkutan warga emas yang mahu ke
klinik atau hospital, mereka hanya perlu mendaftar menjadi ahli PAWE
Kemumin dan pihak kami bersedia mengambil dan menghantar mereka pulang
semula ke rumah selepas selesai temujanji doktor," katanya ketika
ditemui di sini semalam.
Menurut Roomai Nor, pusat itu menerima peruntukan sebanyak RM33,330
setahun daripada JKM negeri untuk perbelanjaan operasinya dan kadar itu
sudah tentu tidak mencukupi malah sebahagian besarnya digunakan bagi
membayar gaji tiga kakitangan tetap pusat tersebut.
Jelasnya, kerajaan diharap dapat menimbang untuk menambah peruntukan
tersebut memandangkan jumlah itu tidak lagi relevan pada suasana
sekarang ini.
Dalam masa sama, beliau berkata, pihaknya tetap berusaha mencari
pendapatan sendiri dengan menyewakan sebuah kios di hadapan bangunan
PAWE dan kini sedang membuat perancangan awal untuk membina sebuah dewan
serbaguna.
"Perjalanan aktiviti di sini banyak dibantu sumbangan agensi
kerajaan, badan korporat dan orang perseorangan namun kami perlu kreatif
mencari sumber pendapatan tetap untuk PAWE Kemumin.
"Kami merancang mencari dana untuk membina sebuah dewan serbaguna di
tanah bersebelahan pusat ini yang akan dilengkapkan dengan tiga
gelanggang badminton bagi kemudahan pihak yang berminat dengan sukan ini
menyewa tempat bermain," katanya.
Sementara itu, salah seorang ahli PAWE Kemumin, Rahimah Wan Daud,
63, berkata, dia dan suami, Ismail Yusuf, 63, mula menjadi ahli sejak
2007 setelah mereka bersara daripada perkhidmatan kerajaan.
Bekas jururawat yang berasal dari Padang Tembak itu berkata, semua
enam anak dan lapan cucu tinggal berjauhan daripada mereka menyebabkan
perlu mencari sesuatu untuk mengisi masa.
"Kami berpeluang menyertai banyak aktiviti malah dibawa menyertai
rombongan JKM negeri ke negeri lain apabila ada acara melibatkan warga
emas di peringkat kebangsaan. "Pihak pengurusan juga menganjurkan majlis hari jadi kepada ahli sebanyak tiga kali dalam setahun," katanya.
Seorang lagi ahli, Rohani Yusuf, 54, pula berkata, walaupun
umurnya agak 'muda' berbanding ahli lain, keadaan itu tidak
menghalangnya untuk turut serta dalam aktiviti PAWE setelah memilih
untuk bersara awal. "Pada sebelah malam saya boleh ke masjid berhampiran rumah untuk
mengikuti kuliah dan pada sebelah siang pula saya datang ke pusat ini
khususnya pada Ahad dan Rabu untuk pengajian al-Quran dan agama, saya
berharap kelas ilmu begini dapat ditambah lagi pada masa hadapan,"
katanya.
Penyelia PAWE Kemumin, Abdul Hadi Hasan, 63, pula berkata,
ahli mereka terdiri daripada pelbagai peringkat masyarakat tanpa mengira
kedudukan termasuk yang berpangkat Datuk.
"Pelbagai pihak juga sentiasa datang melaksanakan program mereka di
sini contohnya seperti Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia (USM)
yang acap kali mengadakan program pemeriksaan kesihatan khusus untuk
warga tua," katanya.
Pada majlis sambutan Hari warga Emas Peringkat negeri Kelantan 2013
Ilmu Dijunjung, Warga Emas Disanjung di Rumah Seri Kenangan, Kemumin di
sini baru-baru ini, seorang ahli PAWE Kemumin yang juga pesara guru, Mustapha Mohamad Noor,
62, telah diiktiraf pemenang Anugerah Tokoh Keagamaan atas kejayaan
beliau menjadi naib juara Majlis Tilawah al-Quran JKM peringkat
Kebangsaan di Kuala Lumpur pada Ogos lalu.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Kelantan | 6 Januari 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan