Kamarudin Mohd. Zain (kanan) menyampaikan bantuan kecemasan kepada Zahari Mohamed di Kampung Kedondong, Pasir Mas, Kota Bharu, Kelantan, semalam. |
PASIR MAS: Pembayar zakat di negeri ini
tidak perlu khuatir kerana zakat yang dikeluarkan mereka diuruskan
dengan baik oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan
(MAIK).
Timbalan Yang Dipertua MAIK, Datuk Kamarudin Mohd. Zain berkata, wang
zakat itu diagihkan secara terus oleh pihaknya kepada asnaf yang layak
untuk menerima bantuan tersebut.
Beliau berkata, pihaknya memperkenalkan 17 jenis bantuan zakat yang
dirangka khusus, antaranya bantuan kecemasan, penyakit kronik dan baik
pulih rumah bagi memastikan agihan itu sampai kepada golongan yang layak
menerimanya.
"Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada mereka yang telah
mengeluarkan zakat. Alhamdulillah orang ramai mula sedar dengan
kepentingan membayar zakat yang merupakan salah satu daripada Rukun
Islam.
"Pada tahun 2012, MAIK berjaya mengutip sebanyak RM113 juta dan
meningkat kepada lebih RM134 juta pada 2013. Kita jangka kutipan zakat
akan terus meningkat pada tahun ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan
kepada mangsa kebakaran, Zahari Mohamed, 47, di Kampung Kedondong dekat
sini hari ini. Zahari yang merupakan peniaga makanan hilang mata pencarian apabila kedai yang disewanya terbakar pada Oktober tahun lalu.
Dalam perkembangan lain, Kamarudin memberitahu, pihaknya akan membina
sebanyak 100 buah rumah di seluruh negeri ini kepada mereka yang layak
menerimanya.
Katanya, dari jumlah tersebut, setiap jajahan akan menerima sebanyak
10 buah rumah dengan anggaran kos binaan berjumlah RM35,000 hingga
RM38,000. "MAIK sentiasa memberikan komitmen yang tinggi bagi memastikan agihan zakat ini sampai kepada golongan yang berhak.
"Agihan zakat yang diberikan ini atas keprihatinan Tengku Mahkota
Kelantan, Tengku Dr. Muhammad Fa-iz Sultan Ismail yang sentiasa
mengambil berat terhadap kesusahan yang dialami oleh rakyat jelata,"
katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Kelantan | 5 Januari 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan