Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Isnin, 27 Januari 2014

Nik Abduh bidas MPKB-BRI

KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dibidas kerana menggunakan cara yang salah dan tidak selaras dengan kepentingan awam yang dianjurkan oleh Islam dalam kaedah mengutip bayaran sewa tempat meletak kereta di bandar ini. 

Ahli Parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz (gambar) berkata, kaedah yang digunakan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) itu telah membebankan pengguna apabila mewajibkan bayaran minimum sebanyak 40 sen dalam satu masa untuk setiap petak letak kereta. 

Beliau berkata, ini bermakna, pihak MPKB-BRI telah mewajibkan pengguna petak letak kereta awam membayar untuk tempoh setengah jam walaupun mereka mungkin menggunakannya dalam masa yang kurang daripada itu.

"Pengguna tiada pilihan dan dipaksa untuk menerima sewaan setengah jam untuk satu masa, sedangkan ramai pengguna menggunakan tempat letak kereta untuk sesuatu urusan yang hanya memakan masa 15 minit atau kurang daripada itu. Ertinya mereka dipaksa membayar lebih.

"Ia menyebabkan pembaziran dalam perbelanjaan, sedangkan ia boleh dielakkan. Ini salah dalam hukum agama.

"Kaedah ini hanya memberi keuntungan sebelah pihak. MPKB-BRI dikira mengaut keuntungan hasil yang lebih besar dengan cara yang salah dan membebankan rakyat. Rakyat pula langsung tidak mendapat apa-apa manfaat daripada kaedah baru pembayaran ini. Ini juga adalah muamalat yang salah dalam agama," katanya.

Beliau berkata demikian dalam entri akaun facebook miliknya baru-baru ini. Pada November lalu, Utusan Malaysia menyiarkan rintihan pengguna yang mendesak PBT itu supaya menarik balik penguatkuasaan bayaran minimum 40 sen untuk tempat letak kereta yang berkuat kuasa Oktober lalu. 

Sebelum itu, pengguna petak parkir awam hanya perlu membayar minimum 10 sen sahaja untuk tempoh 7 minit. Nik Abduh yang juga Ahli Jawatankuasa Pas Pusat berkata, MPKB-BRI dilihat memasuki bidang perniagaan atas petak kereta awam sebagaimana pemilik tempat kereta persendirian yang mengenakan caj dan sewaan yang mahal. 

"Ini juga salah. Petak kereta awam adalah hak rakyat. Sesuatu polisi hendaklah dibuat menyebelahi rakyat untuk kemudahan mereka.

"Walaupun saya dimaklumkan bahawa faktor utama kaedah itu diperkenalkan adalah untuk membendung penipuan oleh sesetengah pengguna yang tidak bertanggung jawab, tetapi itu bukanlah penyelesaian yang benar. 

"Ia jelas salah. Jangan beban kita menjadi beban orang lain pula, apatah kita pula yang mendapat untung," katanya. 

Tambahnya, atas faktor-faktor di atas, beliau berharap pihak MPKB-BRI terutama pihak ahli majlis dapat menilai dan mengkaji semula kaedah pembayaran yang baru diperkenalkan itu dan dikembali kepada kaedah asal.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 24 Januari 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan