PASIR PUTEH: Rakyat yang berpendapatan rendah dan tidak mampu menampung kos pemasangan paip bagi bekalan air bersih diminta membuat permohonan bantuan melalui Peruntukan Kecil Wakil Rakyat untuk memastikan mereka mendapat kemudahan itu.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob berkata, borang permohonan mendapatkan bantuan tanggungan kerajaan boleh didapati di pejabat penggawa daerah masing-masing atau berhubung terus dengan pejabat Air Kelantan Sdn. Bhd. (AKSB) yang berdekatan bagi tujuan berkenaan.
Beliau berkata, rakyat miskin bermasalah dengan bekalan sumber air yang kotor dan tidak berkualiti di kawasan tertentu masih berpeluang menikmati kemudahan air bersih yang dibekalkan AKSB tanpa perlu mengeluarkan perbelanjaan besar.
"Saya nasihatkan mereka berhubung terus dengan pegawai AKSB dan penggawa daerah masing-masing yang sudah dimaklumkan tentang peruntukan bantuan yang disediakan oleh kerajaan.
"Kita memandang serius permasalahan yang membebani rakyat termasuk caj pemasangan tinggi yang dikenakan oleh kontraktor sekiranya benar berlaku sedemikian," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Pusat Kaunseling Baitul Rahmat, di sini baru-baru ini.
Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan tentang masalah 100 penduduk di Kampung Raja Dagang Semerak, dekat sini yang terpaksa menggunakan air tidak berkualiti kerana tidak mampu menampung kos pemasangan paip yang didakwa terlalu tinggi dan membebankan.
Ahmad berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 300 bantuan yang berkaitan dengan keperluan sumber bekalan air bersih dan bekalan elektrik telah disalurkan kepada rakyat miskin menerusi peruntukan disediakan.
"Penambahan bilangan pengguna air sentiasa dilaksanakan setiap tahun berasaskan keperluan dan permohonan dikemukakan termasuk pertambahan pengguna yang membabitkan pembinaan loji air yang baharu.
"Dana kewangan menerusi Tabung Serambi Mekah juga masih berfungsi untuk membantu golongan yang ditimpa musibah sebagai bantuan keperluan kecemasan kepada rakyat miskin yang menghidap penyakit kronik seperti jantung dan buah pinggang," katanya.
Tambahnya, rakyat yang memerlukan bantuan perlu mendapat sokongan dan pengesahan penghulu, wakil rakyat atau Ketua Jajahan.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Kelantan | 13 Januari 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan