![]()  | 
| Para pelajar Universiti Sains Malaysia mengumpulkan sampah semasa program Gotong-royong dan Operasi Pemutihan Pasar Besar Siti Khadijah, Kota Bharu. | 
KOTA BHARU: Pada saat-saat akhir sebelum
 melepaskan jawatan, bekas Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat 
melahirkan rasa kecewanya kerana gagal untuk mengubah sikap rakyat 
negeri ini untuk menjaga kebersihan.
Apa tidaknya lebih 20 tahun Kota Bharu dilabel sebagai bandar kotor. 
Tiada perubahan ketara berlaku biar pun Kerajaan Pas Kelantan telah 
melakukan pelbagai usaha untuk mengubah tanggapan tersebut namun 
sehingga sekarang usaha ini masih lagi gagal.
Imej tersebut sedikit sebanyak mencalar Tahun Melawat Malaysia 2014 
(TMM 2014) kerana negeri ini menjadi salah satu tumpuan pelancong dari 
dalam atau luar negara.
Justeru, Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) 
telah mengambil langkah tepat apabila aktiviti gotong-royong bersama 
peniaga Pasar Besar Siti Khadijah pada Sabtu lalu sebagai permulaan 
untuk mengikis imej buruk itu sempena TMM 2014.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood berkata,
 pasar tersebut dipilih sebagai lokasi pertama bagi aktiviti 
gotong-royong kerana lokasi ini menjadi destinasi tumpuan pelancong.
Katanya, sebagai permulaan tahun baharu 2014, kerajaan negeri perlu 
memupuk sikap masyarakat terutama para peniaga yang menjadi duta kecil 
pelancongan menjadi lebih peka dan prihatin terhadap kebersihan di 
kawasan sekeliling mereka.
"Aktiviti yang dianjurkan ini, diharapkan dapat membina sikap baharu 
dalam kalangan peniaga untuk mencantik dan menceriakan gerai 
masing-masing.
"Pada masa yang sama, kita memberi panduan kepada para peniaga untuk membuang barang-barang yang tidak diperlukan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan 
Gotong-Royong dan Operasi Pemutihan Pasar Besar Siti Khadijah di sini 
baru-baru ini.
Kira-kira 300 orang terdiri daripada peniaga, kakitangan MPKB-BRI dan
 penuntut Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Malaya 
menyertai aktiviti gotong-royong tersebut.
Menurut Abdul Fattah, langkah menyisih barang-barang yang tidak 
diperlukan amat penting bagi mengelakkan bahan itu terjatuh dalam 
longkang tanpa disedari dan menyekat pengaliran air sehingga menimbulkan
 bau busuk.
Tambah beliau, dengan aktiviti sebegini juga kerajaan negeri dapat 
mendekati para peniaga dan mendengar pandangan mereka secara langsung 
untuk menaik taraf pasar tersebut.
"Kita sentiasa mengalu-alukan pandangan serta cadangan daripada para 
peniaga mahupun orang ramai sendiri bagi sama-sama memastikan Pasar 
Besar Siti Khadijah ini terus menjadi tumpuan pelancong," katanya.
Sementara itu Yang Dipertua MPKB-BRI, Fauzi Mat berkata, tidak
 sepatutnya orang ramai menyerahkan tanggungjawab membersihkan bandar 
ini kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) itu sahaja.
Kata beliau, untuk mencapai matlamat sampah sifar di negeri ini, 
sikap suka membuang sampah merata-rata serta mementingkan diri itu perlu
 diubah untuk mencapai matlamat kerajaan negeri untuk mewujudkan bandar 
raya bersih.
"Di Pasar Besar Siti Khadijah misalnya, bukan sahaja pihak MPKB-BRI 
sahaja yang bertanggungjawab menjaga kebersihan di sini tapi peniaga 
juga perlu prihatin dengan persekitaran mereka bagi memastikan para 
pengunjung berasa selesa untuk membeli," katanya.
Kata Fauzi, pihaknya akan bertindak lebih tegas dan tidak akan 
bertoleransi dengan peniaga mahupun orang ramai kerana tidak menjaga 
kebersihan dan membuang sampah di merata-rata.
"Jika ada yang ditangkap kerana membuang sampah di merata-rata, pihak
 MPKB-BRI tidak akan teragak-agak untuk mengeluarkan kompaun," tegas 
beliau.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 20 Januari 2014 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan