SEPANG: Syarikat penerbangan tambang murah, 
AirAsia pada Isnin mengumumkan pengenalan tiga laluan baharu dari Kuching 
dan Miri ke beberapa destinasi di Semenanjung.
Laluan tersebut ialah menghubungkan Kuching melalui penerbangan terus
 ke Langkawi, dari Miri terus ke Pulau Pinang dan juga dari Miri ke 
Pulau Perhentian, Terengganu.
Menyatakan demikian dalam satu kenyataan, AirAsia menjelaskan, 
pengenalan ketiga-tiga destinasi baharu itu akan memberi kemudahan kepada 
pengguna dari Kuching dan Miri untuk terbang terus ke Langkawi, Pulau 
Pinang dan Pulau Perhentian tanpa membuang masa mengambil penerbangan 
dari Kuala Lumpur.
Sehubungan dengan itu, AirAsia akan memberikan tiket-tiket percuma 
untuk ketiga-tiga laluan berkenaan jika membuat tempahan secara dalam 
talian di www.airasia.com mulai Selasa, 28 Januari hingga Ahad, 9  
Februari.
Para pelanggan hanya perlu membayar cukai tertentu serta bayaran RM29
 untuk penerbangan sehala jika menaiki penerbangan dari 20 Mac ke atas.
Dengan pengenalan laluan baharu ini juga, AirAsia kini menjadi 
satu-satunya syarikat penerbangan yang menawarkan penerbangan dari 
Kuching–Langkawi, Miri–Pulau Pinang dan Miri–Terengganu.
Tahun lalu sahaja AirAsia melancarkan 141 penerbangan tambahan untuk laluan domestik semata-mata. Laluan Kuching–Langkawi akan menawarkan penerbangan empat kali 
seminggu, Miri-Pulau Pinang juga empat kali seminggu dan Miri-Terengganu
 tiga kali seminggu.
Ia adalah laluan domestik AirAsia yang kelapan dari Kuching manakala dari Miri pula yang ke enam. Kesemua laluan baharu ini akan bermula dari  20 Mac depan.
Sumber: mStar Online | 27 Januari 2014 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan