Wan Mohd Shuhaimi (dua, kiri) bersama Md Anizam (kiri) meninjau stor memorial yang menyimpan pelbagai khazanah |
KOTA BHARU: Walaupun menyimpan pelbagai khazanah sejarah ketamadunan negara, namun tidak ramai yang berminat mengunjungi Memorial Peperangan Dunia Kedua menyebabkan suatu anjakan dilakukan Perbadanan Muzium Negeri Kelantan untuk menarik pengunjung ke institusi itu.
Pengarahnya, Wan Mohd Shuhaimi Wan Mustapha, berdasarkan pengalaman yang ada, beliau akan cuba memberikan idea baharu untuk menghidupkan suasana memorial berkenaan agar lebih menarik sekali gus memberi
gambaran lebih tepat terhadap khazanah di dalamnya.
“Saya akui sukar untuk melakukannya, namun akan berusaha membawa perubahan demi melihat memorial yang ada ini berfungsi selari dengan peranannya walaupun mungkin memakan masa.
“Umum mengetahui, jika ingin melihat suatu ketamadunan sesebuah negara, muzium merupakan tempat rujukan paling sesuai, namun bukan semua berminat ke muzium, sebab itu ia perlukan suatu tarikan,” katanya ketika menghadiri gotong-royong membersihkan kawasan memorial itu, semalam.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan, Datuk Md Anizam Abdul Rahman. Wan Mohd Shuhaimi yang baru tiga minggu menerajui perbadanan muzium berkata, sama ada landskap atau persembahan, segala-galanya perlukan pembaharuan agar selari dengan peredaran zaman dan latar belakang pengunjung.
“Setahun tidak cukup untuk saya merealisasikan pengubahsuaian ini, dua tahun juga agak mustahil, mungkin tiga tahun diperlukan, barulah ia benar-benar mampu dijayakan,” katanya.
Menurutnya, pelbagai khazanah terdapat di dalam memorial berkenaan dan yakin ia mampu menarik perhatian ramai pengunjung serta pengkaji sejarah jika dipersembahkan dalam bentuk yang lebih realistik.
Mengakui memerlukan pandangan dan idea daripada pihak lebih arif, Wan Mohd Shuhaimi berkata, beliau akan mendapatkan nasihat dan pandangan pihak Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Limkokwing berkaitan susun atur khazanah di dalam memorial itu.
Wan Mohd Shuhaimi berkata, pihaknya mengalu-alukan sumbangan korporat dalam mendapatkan peruntukan untuk tujuan pengubahsuaian memorial itu disebabkan memerlukan perbelanjaan agak besar.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 16 Januari 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan