Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 12 Januari 2014

Penangan ubi kayu

Zaharah membeli ubi kayu dalam kuantiti yang banyak sebagai stok bekalannya.
TUMPAT: Walaupun ubi kayu bukan sajian utama masyarakat moden tetapi ketika musim hujan ini apa sahaja kuih muih yang diperbuat daripada ubi kayu pasti laris.

Bukan sahaja kuih putu halba, kuih talam ubi kayu juga sinonim dengan kuih musim hujan dan laris di musim banjir.
Perkara itu diakui oleh pengusaha kuih talam, Roslida Mohd Nor, 39, apabila makin lebat hujan makin ramai yang mencari kuih talam ubi kayu ini.

Roslida dari Kampung Kajang Sebidang mewarisi kepandaian membuat kuih talam ubi kayu ini daripada ibunya, Zaharah Salleh, 65.

Menurutnya, ibunya menjadi pengusaha kuih itu sejak 20 tahun lalu dan kini diturunkan kepadanya. “Walaupun saya mempunyai tujuh adik beradik, tetapi hanya saya yang ikut jejak langkah ibu.

“Berniaga kuih talam ubi kayu ini sebagai pendapatan sampingan keluarga, sedikit sebanyak dapat membantu menambah pendapatan suami,” katanya yang mempunyai seorang anak.

Kuih talam berkenaan menggunakan bahan asas ubi kayu yang diparut dan dimasak serta kemudiannya dilapiskan dengan santan yang dimasak pekat.

Roslida berkata, pada musim hujan dia menyediakan kira-kira 300 bekas kuih talam ubi kayu kerana permintaan yang tinggi daripada orang ramai.

“Kadang kala sukar mendapatkan bekalan ubi kayu, sehinggakan saya tidak dapat memenuhi tempahan pelanggan.

“Saya jual RM1 untuk 3 bekas kecil, dalam masa yang sama saya juga ada menjual kuih talam beras, kuih pelita, laksa dan gulai.

“Setiap jam 4 petang saya bawa kuih-muih ini untuk dijual di Pasar Segar Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) di Kampung Jubakar,” katanya kepada Sinar Harian.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 12 Januari 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan