Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 23 Januari 2014

Kelantan teruskan pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan akan meneruskan semula pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai yang juga dikenali sebagai Lebuh Raya Rakyat yang terbengkalai sejak Mei 2012.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Utiliti dan Teknologi Maklumat Negeri Datuk Hanifa Ahmad berkata projek tersebut akan dilakukan secepat mungkin secara berperingkat.

"Pada fasa pertama ini kita akan mulakan dari Kuala Krai ke Machang yang melibatkan sejauh 30 kilometer dan sekarang dalam proses mencari tender," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco kerajaan Kelantan di sini hari ini.

Beliau berkata setakat ini terdapat 15 syarikat yang berminat untuk melaksanakan pembinaan lebuh raya berkenaan. "15 syarikat dah hantar untuk terlibat dalam projek ini. Kita akan gazetkan tanah dan panggil pemilik untuk perbincangan," katanya. 

Perasmian majlis pecah tanah bagi pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai itu diadakan di Kampung Berangan Mek Nab, Machang, pada 28 Mei 2012 oleh bekas Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat. Lebuh Raya Rakyat itu merupakan ilham bekas Exco kanan kerajaan Kelantan Datuk Husam Musa.

Pembinaan Lebuh Raya Kota Bharu - Kuala Krai sepanjang 73 kilometer bernilai RM1.8 bilion yang hendak dibangunkan oleh Kerajaan Pas Kelantan itu pernah menimbulkan pelbagai polemik termasuk isu rakyat negeri itu diminta tampil menghulurkan derma bagi membantu pembinaan laluan yang menghubungkan bandar Kota Bharu dan Kuala Krai.

Sehingga Jun tahun lepas, lebih RM2 juta disumbangkan pelbagai pihak bagi mengisi dana pembinaan lebuh raya berkenaan. Kerajaan negeri  menyasarkan dana dapat dikumpul sehingga RM50 juta. 

Sumber: BERNAMA | 22 Januari 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan