Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 23 Januari 2014

Pasar baharu dibina tempatkan peniaga mangsa kebakaran di Rantau Panjang

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan sedang membina pasar baharu bagi menempatkan lebih 60 peniaga yang terjejas dalam kebakaran yang berlaku di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang, pada 6 Jan lepas.

Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob berkata pembinaan pasar baharu berhampiran lokasi lama itu, dijangka siap pada Mac depan bagi membolehkan peniaga memulakan perniagaan secepat mungkin.

"Kita akan tawarkan kepada mereka yang benar-benar layak dan saya rasa masalah ini akan selesai tidak lama lagi," katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran Kempen Kitar Semula Peringkat Negeri di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Abdul Fattah Mahmood dan Pengarah Perbadanan Sistem Pepejal Negeri Kelantan Datuk Afandi Hamzah.

Dalam kebakaran yang berlaku pada pukul 11.30 malam itu, kira-kira 60 buah kedai kayu yang beroperasi sejak 20 tahun lalu musnah dalam kebakaran yang membabitkan kerugian kira-kira RM2 juta.

Sementara itu, Ahmad menafikan laporan bahawa kawasan Taman Negara Kuala Koh di Gua Musang bakal mengalami kemusnahan seperti yang didakwa sesetengah pihak sebaliknya menjelaskan kawasan yang diteroka tidak membabitkan taman negara berkenaan.

"Kawasan itu membabitkan tanaman kelapa sawit yang jaraknya sejauh 300 meter daripada taman negara. Ia tidak terlibat dengan taman negara. Tidak ada kesalahan di sana dan laporan yang kata telah menceroboh taman negara itu satu laporan yang saya rasa tidak betul," katanya.

Beliau berkata mesyuarat Exco hari ini juga telah memutuskan untuk membentuk pasukan sukarelawan bagi menyelidik dan mendapatkan maklumat terhadap mana-mana pihak yang melanggar atau menceroboh kawasan hutan simpan.

Sumber: BERNAMA | 22 Januari 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan