KOTA BHARU: Jumlah kes penyakit 
leptospirosis atau kencing tikus di negeri ini meningkat sebanyak 50 
peratus daripada hanya 168 kes pada 2012 kepada 250 kes tahun lalu.
Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir berkata,
 peningkatan paling ketara didapati berlaku pada bulan Disember iaitu 
pada musim banjir apabila 31 kes telah dilaporkan berbanding purata 
kebiasaan 20 kes sebulan.
Beliau berkata, stastistik tahun lalu juga mencatatkan 11 kematian 
pesakit yang terkena jangkitan leptospirosis berbanding hanya empat 
kematian pada 2012.
"Jumlah kematian tertinggi adalah di daerah Kota Bharu, sebanyak 
empat kes, Kuala Krai (dua kes), Gua Musang (dua kes) dan masing-masing 
satu kes di Tanah Merah, Pasir Mas dan Pasir Puteh.
"Kaum lelaki didapati paling ramai terkena jangkitan penyakit 
tersebut iaitu hampir 70 peratus manakala bidang pekerjaan paling 
berisiko adalah pertanian apabila 20 peratus atau 50 kes jangkitan 
melibatkan penoreh getah, pekerja ladang dan pesawah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. 
Ahmad Razin berkata, sanitasi persekitaran rumah yang kurang 
memuaskan yang mana terdapat banyak sampah sarap juga mempunyai risiko 
yang tinggi untuk mendapat jangkitan dan ini terbukti apabila sampel 
tanah yang diambil di rumah kes terlibat dikesan kehadiran bakteria 
leptospira.
Katanya, pekerja yang terdedah kepada air atau tanah yang kemungkinan
 dicemari bakteria itu seperti petani, peladang dan penoreh getah perlu 
memakai alat perlindungan diri seperti but getah dan sarung tangan.
"Amalkan mencuci tangan, kaki serta bahagian anggota lain dengan 
sabun selepas bekerja di kebun, membersih sampah dan kawasan rumah 
terutamanya selepas banjir. 
"Bakteria leptospira boleh didapati dalam badan pelbagai haiwan 
termasuklah tikus, lembu, kambing, anjing, khinzir, kuda dan musang akan
 menyebarkan penyakit apabila kencing di persekitaran seperti tempat 
pembuangan sampah dan kawasan rekreasi.
"Ini sekali gus menyebabkan jangkitan kepada manusia yang mengambil 
makanan atau minuman tercemar; sentuhan melalui kulit yang luka atau 
lapisan mukosa seperti mata, hidung, sinus dan mulut," katanya. 
Jelasnya, pemantauan kes leptospirosis di Kelantan selama tiga tahun 
dari 2011 hingga 2013 mendapati sebanyak 45 kes mempunyai sejarah mandi 
atau berkelah di tempat rekreasi semula jadi.
Tambahnya, kawasan perkelahan paling banyak kes pengunjung mendapat 
jangkitan adalah Jeram Pasu, Pasir Puteh dengan 10 kes; Jeram Linang, 
Machang (lapan kes); Jeram Bukit Bakar, Machang (tujuh kes) dan Lata 
Telaga Bijih, Tanah Merah (enam kes).
"Pengunjung tempat rekreasi yang menyertai aktiviti sukan luar 
seperti mendayung sampan, berakit, memanjat gunung, berkhemah dan mandi 
sewajarnya mengelak berenang atau bermain air sekiranya luka atau 
mengalami penyakit kulit," katanya.
Beliau berkata, orang yang terkena jangkitan akan menghidapi demam 
panas, sakit kepala yang teruk, menggigil, muntah, batuk, mata merah, 
sakit perut, cirit birit, sakit otot terutama betis mirip kesan penyakit
 saluran pernafasan, demam denggi dan demam kepialu.
"Penyakit ini boleh dirawat dengan antibiotik sekiranya hanya 
jangkitan ringan manakala kes yang teruk perlu dirawat di hospital 
kerana boleh mengakibatkan kerosakan pelbagai anggota dalaman badan 
seperti kegagalan buah pinggang, hati dan sistem pernafasan sehingga 
membawa kepada kematian," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Kelantan | 6 Januari 2014 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan