![]()  | 
| Sebahagian pekerja SSME melakukan penyelenggaraan akhir kapal di limbungan operasi pembaikan kapal di Tok Bali, Pasir Puteh, Kelantan. | 
PASIR PUTEH: Semerak Shipyard & 
Maritime Engineering Sdn. Bhd. (SSME) yakin pelaburan sebanyak RM10 juta
 dalam industri pembinaan dan penyelenggaraan kapal di Tok Bali di sini 
berdaya maju serta dapat mencapai sasaran yang ditetapkan. 
Ketua Pegawai Eksekutif SSME, Ismail Dollah berkata, pelaburan dalam 
bentuk pelbagai kemudahan seperti limbungan, bengkel, hotel dan pejabat 
di kawasan tersebut adalah untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik 
kepada para pelanggan. 
Beliau berkata, teras utama perniagaan syarikat tersebut adalah 
memberikan perkhidmatan pembinaan dan membaikpulih kapal-kapal serta 
bot-bot nelayan laut dalam yang dimiliki sepenuhnya oleh pengusaha 
bumiputera.
"Kami yakin pelaburan ini akan dapat dicapai dalam masa terdekat dan 
akan memberikan pulangan yang lumayan, secara tidak langsung akan 
membantu meningkatkan ekonomi setempat. 
"SSME juga mempunyai 40 kakitangan tetap dan 100 pekerja secara 
kontrak yang terdiri daripada pakar tempatan yang berupaya membaiki dan 
membina kapal dalam tempoh yang singkat dengan menggunakan teknologi 
moden," katanya. 
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian 
pelancaran projek membina dua buah kapal penumpang di Tok Bali, dekat 
sini hari ini.
Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri 
Semerak, Zawawi Othman. Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif 
Seawealth Maritime Services Sdn. Bhd. (SMS), Mohd. Azir Marzuki. Kapal aluminium berukuran 40 meter yang berharga RM34 juta itu 
ditempah oleh syarikat SMS yang dijangka siap dalam tempoh enam bulan. 
Sebelum ini, SSME membina bot katamaran untuk syarikat Gagnar 
Corporation Sdn. Bhd. dan bot tunda untuk Lembaga Kemajuan Terengganu 
Tengah (KETENGAH) bagi kegunaan di Tasik Kenyir.
Ismail berkata, di antara jabatan kerajaan yang terlibat dalam 
penyelenggaraan kapal di SSME ialah Agensi Penguatkuasaan Maritim 
Malaysia (APMM), Jabatan Laut Semenanjung Malaysia dan Feri Seri Tanjung
 milik Jabatan Kerja Raya Pangkalan Kubor.
"Kapal-kapal swasta pula ialah Alam Maritim, Power Tium, bot-bot 
perikanan laut dalam di samping memberi perkhidmatan kepada Sapura 
Kencana Petroleum, Aquagrow, Cari Gali Hess dan MTU Services (M) Sdn. 
Bhd.
"Selain itu, pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) 
dan kolej swasta yang berkaitan dengan bidang mekanikal perkapalan turut
 diterima menjalani latihan industri di sini.
"Kesemua pekerja adalah penduduk tempatan yang berpengalaman dalam 
pembinaan dan pembaikan kapal manakala kakitangan pengurusan pula 
memiliki pengalaman yang tinggi termasuk pesara tentera dari Tentera 
Laut Diraja Malaysia (TLDM)," katanya.
Katanya, kemajuan yang dicapai syarikat tersebut secara tidak 
langsung membantu program Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) untuk 
mewujudkan bandar maritim di Tok Bali menjelang tahun 2020. 
Selain di Tok Bali, tambah beliau, SSME turut membuka cawangan yang 
sama di Kemena Land, Bintulu, Sarawak dengan pelan operasi yang sama.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan