Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 9 Januari 2014

Khairul Fahmi & Nik Shahrul Azim ikat kontrak lima tahun bersama TRW

Khairul Fahmi (kiri) bersama jurulatih Steve Darby (tengah) dan Nik Shahrul Aziz. Foto: SAzuki Embong, The Star
KOTA BHARU: Pasukan Liga Malaysia terpaksa melupakan hasrat untuk mendapatkan khidmat penjaga gol kebangsaan Khairul Fahmi Che Mat dan pemain pertahanan 'The Red Warriors' (TRW), Nik Shahrul Azim Ab Halim untuk tempoh lima tahun akan datang.

Ini berikutan kedua-dua pemain tersebut telah menandatangani kontrak selama lima tahun dengan Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) mulai musim Liga Malaysia tahun ini.

Selain itu, kapten TRW, Mohd Badri Mohd Radzi turut menandatangani kontak selama dua tahun dan pemain sayap, Zairul Fitree Ishak selama tiga tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif TRW Sdn Bhd, Kevin Ramalingam berkata tempoh kontrak tersebut adalah penting bagi persatuan itu terus memberi komtimen kepada pemain-pemain TRW.

"Setiap pasukan mempunyai strategi yang tersendiri dan banyak di antara pasukan, kurang memberikan komitmen kepada pemain-pemain mereka sehingga menyebabkan pemain memberi persembahan kurang memberangsangkan," katanya pada sidang media di sini, Selasa.

"Justeru, KAFA mengambil langkah yang berbeza dengan mengikat pemain dengan kontrak maksimum sebagaimana mengikut lunas undang-undang yang termaktub di bawah Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), walaupun pemain itu memberi persembahan yang terbaik ataupun tidak," katanya.

Turut hadir, Setiausaha Agung KAFA merangkap pengurus pasukan Azman Ibrahim dan ketua jurulatih, Steve Darby. Kevin berkata KAFA menghargai pengorbanan oleh pemain yang sedia berkhidmat untuk satu tempoh yang lama dengan TRW walaupun mereka mungkin mendapat tawaran lumayan daripada pasukan lain pada setiap hujung musim.

"Ketika pemain lain memburu kontrak yang lumayan pada setiap musim, namun mereka mementingkan kestabilan dalam karier mereka untuk tidak berhijrah dan sanggup memberi komitmen kepada KAFA dalam satu tempoh yang lama.

"KAFA berharap agar langkah yang diambil ini akan menyuntik semangat kepada pemain-pemain yang berasal dari Kelantan untuk terus menabur bakti kepada pasukan," katanya. KAFA bagaimanapun tidak mengumumkan nilai kontrak yang diberikan kepada pemain tersebut.

Sementara itu, Khairul Fahmi berkata langkah yang diambil beliau untuk terus bersama Kelantan adalah tepat memandangkan kariernya mula bersinar ketika menyarung jersi pasukan itu.

Khairul Fahmi, yang menyambut ulang tahun kelahirannya ke-25 pada Selasa, berkata KAFA telah banyak berkorban untuk membentuknya menjadi salah seorang penjaga gol yang disegani, justeru ini adalah masa untuk membalas jasa pasukan itu.

"Sebelum ini, memang saya ada terima tawaran daripada pasukan lain, namun saya memilih untuk setia bersama Kelantan dan tidak menolak untuk menghabiskan kerjaya sebagai penjaga gol dengan pasukan ini," katanya.

Pandangan itu turut dikongsi oleh Nik Shahrul Azim yang menyifatkan karier nya bermula ketika bersama skuad Liga Presiden Kelantan beberapa tahun lepas sebelum diserap ke pasukan TRW. 

Sumber: BERNAMA & mStar Online | 8 Januari 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan