KOTA BHARU: 'Lain Padang, Lain Belalang' - perumpamaan itu mungkin 
tepat untuk menggambarkan aktiviti senggang rakyat Kelantan masa kini 
yang semakin ramai meminati acara beriadah menggunakan kuda.
 Selain kambing dan lembu yang berkeliaran di padang, kuda yang sedang 
meragut rumput atau orang sedang menunggang haiwan itu juga pemandangan 
biasa di negeri Cik Siti Wan Kembang sekarang.
 Ibarat sang koboi, ada kalangan penunggang haiwan itu adalah si cilik yang comel seperti Siti Natasya Nordin. Tanpa sedikit pun kekok, Siti Natasya, 6, hanya tersenyum apabila 
disapa penulis ketika menunggang kuda jenis Belima Siam di padang di 
Kubang Kerian di sini.
 Bertemankan bapa Nordin Mat, 49, si cilik ini mengakui diajar 
menunggang kuda sejak berusia empat tahun dan sentiasa dibawa bapanya 
mengelilingi kampung berhampiran.
 "Dah biasa dah...Tasya suka naik kuda kerana ia menyeronokkan," kata murid Sekolah Kebangsaan Kubang Kerian 1 itu. 
 Bapanya, Nordin mempunyai enam ekor kuda iaitu jenis Belima, Arabican 
dan Ponny yang diletakkan di satu kandang bersebelahan rumahnya di 
sini. 
 Nordin berkata aktiviti menunggang kuda itu dilakukan keluarganya sejak
 turun temurun, malah dua anaknya sebelum ini pernah mewakili Kelantan 
dalam pertandingan berkuda. 
 "Selain beriadah, kuda boleh dijadikan teman dan boleh menghasilkan wang jika diajar untuk menyertai pertandingan," katanya.
 Beliau berkata aktiviti berkuda sebenarnya dapat menyihatkan badan seperti yang disaran dalam agama Islam sendiri.
 Seorang pemilik kuda, Mohd Fakhruhisham Ibrahim, 28, pula menjadikan 
aktiviti berkuda untuk menjana pendapatan sampingan selain memenuhi 
minat peribadi.
 Beliau yang hanya bekerja sebagai pengawal keselamatan, menafikan membela haiwan itu memerlukan belanja yang tinggi. 
 "Saya minat kuda ini melalui bapa saya dan kuda ini boleh menjamin 
pendapatan apabila menjual anak kuda melalui kacukan pelbagai spesis 
seperti Belima Siam dan Belima Tempatan," katanya yang memiliki tujuh 
ekor kuda pelbagai spesis.
 Terbaru beliau membeli seekor kuda Belima Siam yang lazimnya digunakan 
bagi pertandingan Polo di Thailand dengan harga RM11,000 untuk 
dikacukkan bagi mendapatkan baka yang baik.
 "Kalau beli di tempat lain ia boleh mencecah sehingga RM90,000 seekor 
tetapi Alhamdulillah saya mendapatnya dengan harga rendah dan daripada 
baka terpilih," katanya sambil menggosok kuda berkenaan.
 Beliau berkata penjagaan kuda amat mudah dan diibaratkan seperti 
membela lembu yang makan rumput dan dedak tetapi perlukan belaian 
manusia. 
 Katanya bagi tujuh ekor kudanya itu, beliau hanya memperuntukkan RM500 sebulan untuk membeli dedak dan vitamin. 
 "Para pemilik kuda di sekitar sini akan berkumpul untuk menunggang 
mengelilingi kampung dan ada masa tertentu kami menyertai pertandingan 
serta memberikan klinik penjagaan kuda kepada yang berminat," katanya.
 Namun sesuatu yang menarik untuk dikongsi, peluh kuda dikatakan baik 
untuk pesakit lumpuh sekiranya disapukan di bahagian badan yang 
bermasalah lumpuh itu. 
 Kaedah rawatan alternatif itu dikongsi Wan Yusoff Wan Hamat, 59, yang 
mengakui banyak didatangi keluarga dan pesakit lumpuh untuk mendapatkan 
peluh ketika membawa kuda-kuda peliharaannya bersiar di 
kampung-kampung. 
 "Peluh kuda ini seperti syampu dan ia berbuih apabila digosok dan 
dikatakan sangat mujarab untuk mereka yang lumpuh," katanya. 
Sumber: BERNAMA | 5 Januari 2014 
Tiada ulasan:
Catat Ulasan