Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 24 April 2014

Program antarabangsa Kelantan - UMK di Mata Dunia

Sebahagian peserta Program Kelantan-UMK Di Mata Dunia ketika membuat lawatan ke Pasar Besar Siti Khadijah di Kota Bharu, baru-baru ini.
BACHOK: Layanan mesra penduduk dan kehebatan seni budaya warisan Melayu di negeri ini yang pernah menjadi tempat bersemayam ratu tersohor, Cik Siti Wan Kembang sememangnya menjadi tarikan banyak pihak.

Faktor itu membuatkan pelawat, termasuk dari luar negara datang ke Kelantan untuk menyelami sendiri gaya hidup tradisional penduduk tempatan yang belum dihakis arus pemodenan.

Justeru, tidak hairanlah inisiatif Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dengan kerjasama Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan negeri menganjurkan program ‘Kelantan - UMK Di Mata Dunia’ baru-baru ini yang dilihat berjaya mencapai matlamatnya.

Program bermula dari 22 Februari hingga 11 Mac itu merupakan edisi kedua susulan kejayaan daripada edisi pertama tahun lalu dan kali ini.

Kali ini, sekali lagi berjaya mengundang kehadiran pelajar asing dari Oita Prefectural College of Arts and Culture (OPCAC), Jepun.

Menurut Pengarah Pusat Pengajian Bahasa dan Pembangunan Insaniah UMK, Prof. Dr. Farok Zakaria, pihaknya berbesar hati apabila OPCAC masih berminat menghantar pelajar mereka menyertai lawatan sambil belajar ke negeri ini.

Jelasnya, selain interaksi lebih dekat antara pelajar UMK dengan OPCAC, program berkonsep perkongsian budaya itu juga memberi peluang kepada masyarakat setempat mengenali dengan lebih dekat adat resam orang Jepun.


Peserta Program Kelantan - UMK di Mata Dunia ketika melawat rumah seorang pembuat wau di Kota Bharu.
Pada program sama tahun lalu, kita meluangkan masa bersama penduduk yang tinggal di kawasan lembangan pulau di sekitar Sungai Kelantan iaitu Pulau Teluk Renjuna dan Pulau Pantai Suri, Tumpat.

“Kali ini pelajar Jepun diberi kesempatan pula tinggal bersama keluarga angkat di rumah inap desa, Min House Camp di Kubang Kerian dan Kampung Kubang Telaga di Bachok yang berlatar belakangkan sawah padi," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Farok berkata, dalam program tersebut, lima pelajar OPCAC telah menyertai pelbagai aktiviti seperti mempelajari bahasa Melayu, tarian dan muzik tradisional, selain menyelami kehidupan masyarakat kampung.


Katanya, para peserta turut berpeluang mengikuti lawatan ke Pasar Besar Siti Khadijah yang merupakan ikon bandar Kota Bharu, mengunjungi kilang perusahaan batik dan songket terkenal serta menikmati pemandangan kelip-kelip dan mempelajari industri ternakan lebah kelulut.

Sementara itu, salah seorang peserta, Shiori Nakasu, 19, berkata, dia tidak mengetahui sepatah pun perkataan bahasa Melayu, namun perkara itu ternyata bukan masalah untuknya berinteraksi kerana keramahan dan layanan mesra penduduk setempat.

“Dalam masa singkat, saya sudah dapat menghafal beberapa perkataan Melayu termasuk nombor satu sehingga 10 dengan bantuan rakan-rakan dari UMK.

“Dalam masa sama, saya juga berkongsi dengan mereka petua untuk memahami dan mengingati perkataan Jepun dengan mudah," katanya.

Menurut Shiori, Kelantan dan Jepun mempunyai beberapa persamaan termasuk suasana sawah menghijau. “Saya sudah biasa dengan kawasan sawah padi dan kehijauan yang dilihat di sini sama seperti di kampung datuk saya. Cuma saya lihat orang Kelantan mempunyai cara berbeza dalam aspek menjaga haiwan peliharaan.

Di Jepun, kami mengurung ternakan dalam kandang, di sini orang kampung membiarkan haiwan mereka berkeliaran. Mungkin ini cara orang Malaysia dan kebaikan yang saya nampak, haiwan berkenaan boleh bergerak bebas tanpa kongkongan," katanya.

Seorang lagi peserta, Masako Ohara pula sangat istimewa kerana menjadi pelajar paling 'veteran' yang menyertai program tersebut.Masako, 69, merupakan pelajar separuh masa di OPCAC.

Dia yang aktif dalam kerja kemasyarakatan adalah seorang pakar pemakanan sebelum bersara berkata, dia sudah acap kali melancong ke negara-negara Asia Tenggara, namun belum pernah menjejakkan kaki ke Malaysia.

“Saya sudah pernah melawat Thailand, Singapura dan Indonesia, namun ini kali pertama saya datang ke Malaysia, khususnya Kelantan.

“Barang-barang di sini seperti pakaian sangat murah dan saya teruja membeli cenderamata untuk dibawa pulang.

“Bagaimanapun, saya berasa sedikit sedih kerana bila sampai di Jepun nanti, saya tidak dapat mengulangi keghairahan sama semasa membeli-belah di Kelantan," katanya.

Sementara itu, pensyarah Bahasa Jepun UMK, Toshiharu Shinohara berkata, pelajar OPCAC yang menyertai program itu berpuas hati dengan layanan yang diberikan dan menyimpan hasrat untuk kembali ke Kelantan.

“Mereka juga tidak ketinggalan berkongsi kebudayaan Jepun apabila mengajar anak-anak kampung cara melipat ‘origami’ iaitu kesenian tangan paling popular di negara kami," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 23 April 2014 | Terbitan 24 April 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan