KOTA BHARU: Masalah kekurangan tempat letak kenderaan di 
Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini bukanlah satu 
perkara yang luar biasa bagi pengunjng hospital itu di negeri ini.
Walaupun sudah sekian lama masalah ini berlarutan, namun ia masih 
belum menemui jalan penyelesaian sehingga menyebabkan kesesakan yang 
teruk. 
Tinjauan Utusan Malaysia di sekitar HRPZ II baru-baru ini mendapati 
terdapat banyak kenderaan yang diletakkan di bahu jalan berikutan 
masalah tempat letak kereta yang terhad.
Tindakan pemandu yang meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan 
sekali gus turut menyebabkan masalah kesesakan lalu lintas terutamanya 
pada waktu pagi dan petang.
Selain itu, mereka juga terpaksa mengambil risiko kemungkinan kereta 
mereka dilanggar serta terpaksa berhadapan dengan saman daripada pihak 
berkuasa.
Seorang suri rumah, Zohra Kadim Hussin, 43, berkata, ketiadaan tempat
 letak kereta adalah masalah utama yang sering berlaku setiap kali dia 
ke hospital tersebut.
"Setiap kali menghantar anak saya untuk mendapatkan rawatan di HRPZ 
II, saya terpaksa meletak kenderaan di luar kawasan hospital dan perlu 
berjalan jauh.
"Kadang kala, saya juga terpaksa mengambil masa yang lama semata-mata
 untuk mencari tempat meletak kereta sehingga terlewat untuk mendapatkan
 rawatan," katanya.
Zohra berkata, dia turut mengharapkan supaya pihak Majlis 
Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) dapat memberi 
pertimbangan atas situasi ini dan mencari jalan untuk mengatasi masalah 
tempat letak kereta.
Seorang lagi suri rumah, Siti Minah Deraman, 74, berkata, masalah 
tersebut amat memberi kesan kepadanya apabila terpaksa berjalan jauh 
dari kawasan tempat letak kereta dengan usia yang semakin tua. 
Katanya, dia sering berulang alik ke hospital itu sejak beberapa 
tahun lalu untuk mendapatkan rawatan kerana masalah kesihatan yang 
dihadapinya. 
"Saya berharap masalah ini dapat diberi perhatian bagi memberi 
kemudahan yang lebih selesa kepada orang ramai yang berkunjung ke 
hospital berkenaan," katanya.
Sementara itu, Presiden Persatuan Orang Kota Bharu (POKB), Datuk 
Sheikh Ahmad Dusuki Sheikh Mohammad berkata, masalah kekurangan tempat 
letak kereta di HRPZ II perlu diteliti bagi memberi keselesaan kepada 
orang ramai.
"Sekiranya masalah ini tidak diselesaikan dengan kadar segera, ia 
mungkin akan bertambah rumit memandangkan pesakit-pesakit yang 
mendapatkan rawatan di hospital ini semakin bertambah.
"Justeru, pihak-pihak yang terlibat diminta untuk mencari kaedah yang
 sesuai bagi menyelesaikan masalah tempat letak kereta yang terhad 
dengan lebih sistematik," katanya. 
Beliau mencadangkan supaya pihak MPKB-BRI menyediakan ruang letak 
kereta yang lebih luas serta mewujudkan satu pasukan trafik untuk 
memudahkan aliran trafik di kawasan hospital.
"Selain itu, saya juga ingin mencadangkan supaya tempat letak kereta 
bertingkat dapat diwujudkan bagi menyelesaikan masalah tersebut," 
katanya.
Tambahnya, selain mewujudkan tempat letak kereta bertingkat, hospital
 baharu khusus untuk penduduk sekitar Kota Bharu juga perlu dibina bagi 
menangani masalah kekurangan katil untuk pesakit-pesakit di HRPZ II yang
 turut menjadi tumpuan seluruh rakyat di negeri ini.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 28 April 2014 | Terbitan 29 April 2014 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan