![]()  | 
| Sekumpulan anjing liar yang sering berkeliaran di sekitar Taman Desa Kemumin sejak dua bulan lalu telah mengganggu kehidupan penduduk di kawasan tersebut. | 
KOTA BHARU: Kehadiran sekumpulan anjing liar yang 
berkeliaran di sekitar Taman Desa Kemumin di sini sejak dua bulan lalu 
mengganggu kehidupan seharian penduduk.
Selain bimbang diserang dan dicederakan, penduduk mendakwa haiwan 
berkenaan sering kali menyelongkar tong sampah menyebabkan sampah-sarap 
bertaburan.
Sehubungan itu, mereka menggesa pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat 
mengambil tindakan sewajarnya bagi mengelak berlakunya kejadian yang 
tidak diingini.
Seorang penduduk, Othman Yusoff, 58, berkata, apa yang lebih 
membimbangkan penduduk adalah anjing-anjing tersebut berada dalam 
kumpulan yang besar iaitu kira-kira 50 ekor.
"Kumpulan anjing berkenaan tetap kembali mencari makanan di sekitar perumahan kami walaupun sudah beberapa kali dihalau.
"Pada waktu malam, mereka akan mula datang dan seolah-olah menjadikan
 kawasan perumahan ini sebagai habitat mereka," katanya ketika ditemui 
hari ini.
Seorang lagi penduduk, Siti Norwani Othman, 30, berkata, dia bimbang 
anjing-anjing tersebut mengancam keselamatan diri dan keluarga terutama 
anak-anaknya yang masih kecil.
"Anak sulung saya pernah mengalami pengalaman yang menakutkan apabila dikejar sekumpulan anjing liar baru-baru ini.
"Walaupun berjaya melarikan diri, dia masih lagi trauma sehingga takut lagi untuk keluar rumah bersendirian," katanya. Siti Norwani berharap masalah tersebut dapat diatasi pihak berkuasa secepat mungkin.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 22 April 2014 | Terbitan 23 April 2014 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan