![]()  | 
| Orang ramai meletakkan kenderaan mereka di bahu jalan sekali gus turut menyebabkan masalah kesesakan lalu lintas di HRPZ II, Kota Bharu, Kelantan terutamanya pada waktu pagi dan petang. | 
KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam
 (MPKB-BRI) menyifatkan masalah kesesakan lalu lintas akibat kekurangan 
tempat meletak kereta di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di
 sini tidak akan berlaku sekiranya mendapat kerjasama daripada semua 
pihak.
Setiausahanya, Rosnazli Amin berkata, masalah tempat meletak kereta 
berlaku di semua hospital utama di negara ini dan ia bukan suatu yang 
luar biasa. 
Beliau berkata, sekiranya semua pihak mempunyai kesedaran yang tinggi
 dan bertimbang rasa kesesakan disebabkan kekurangan tempat meletak 
kereta dapat dielakkan. 
"Masalah tempat meletak kereta terhad ini berlaku kerana sikap 
pengunjung yang lebih suka meletakkan kenderaan mereka dalam kawasan 
hospital walaupun mereka tahu tempat letak kereta yang disediakan tidak 
mencukupi.
"Selain itu, pelawat juga suka meletakkan kenderaan di tempat yang 
tidak sepatutnya dan boleh menghalang laluan sehingga menyebabkan 
kesesakan lalu lintas," katanya kepada Utusan Malaysia, di sini 
baru-baru ini.
Rosnazli berkata, ruang yang lebih luas untuk meletakkan kenderaan 
sebenarnya telah disediakan di pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV.
"Kita sebenarnya mempunyai banyak ruangan tempat letak kereta di 
kawasan sekitar stadium yang boleh digunakan untuk pelawat-pelawat 
memandangkan ia terletak berhampiran dengan hospital.
"Orang ramai yang menggunakan ruangan tempat meletak kereta itu hanya
 perlu berjalan dengan jarak yang dekat untuk melawat saudara mara 
mahupun mendapatkan rawatan di HRPZ II," katanya.
Tambah beliau, MPKB-BRI juga telah berusaha melaksanakan tempat letak
 kenderaan bermeter di kawasan hospital bagi mengelak berlaku kesesakan 
lalu lintas terutamanya pada waktu melawat.
"Dengan adanya tempat letak kereta bermeter, kenderaan yang 
diletakkan di kawasan tersebut akan lebih tersusun dan tidak akan 
menghalang lalu lintas.
"Selain itu, kita juga telah mengenakan caj minimum sebanyak 40 sen 
bagi setengah jam pertama supaya pengguna dapat merancang tempoh 
meletakkan kenderaan mereka dan tidak menggunakan untuk kepentingan diri
 sahaja," katanya. 
Dalam pada itu, beliau berkata, pihak hospital juga telah mewujudkan 
sejumlah lebih 200 ruang tempat letak kereta untuk pegawai perubatan 
serta kakitangan lain di bangunan baharu.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 28 April 2014 | Terbitan 29 April 2014 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan