Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 15 April 2014

Terengganu yakin projek LPT2 siap Disember tahun ini

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu yakin Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 2 yang melibatkan kos kira-kira RM4.25 bilion dapat disiapkan pada akhir Disember tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya dan Pengangkutan yang juga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemasik, Rosli Othman berkata terdapat tiga hingga empat pakej kerja pembinaan lebuh raya LPT yang masih lagi dijalankan namun sempat untuk disiapkan menjelang tempoh itu.

"Ciri-ciri keselamatan dalam membina projek lebuh raya perlu diambil kira dan untuk menyiapkan sesuatu projek tidak boleh disiapkan dalam keadaan terburu-buru," katanya ketika menjawab soalan Adun Air Putih, Wan Abdul Hakim Wan Mokhtar.

Beliau berkata kerajaan negeri juga berpuas hati dengan ciri-ciri keselamatan yang diletakkan dalam pembinaan lebuh raya itu termasuk keadaan jalan, lampu jalan serta cerun-cerun bukit di tepi lebuh raya fasa kedua itu.

Sewaktu perancangan untuk membina lebuh raya itu, kerajaan negeri telah membuat kajian terhadap lebuh raya yang dibina bagi menjaga keselamatan pengguna, katanya.

"Malah reka bentuk LPT Fasa 2 itu sendiri mempunyai ciri keselamatan yang lebih tinggi berbanding LPT Fasa pertama," kata Rosli.

Rosli berkata berkata bagi menyiapkan projek LPT Fasa 2 dengan cepat, kerajaan negeri bekerjasama dengan kerajaan persekutuan dengan pelaburan sebanyak RM1.8 bilion daripada jumlah kos RM4.25 bilion.

Bagaimanapun LPT Fasa 2 tidak akan diserahkan haknya kepada kerajaan persekutuan 100 peratus memandangkan terdapat juga sedikit bahagian yang dilaburkan oleh kerajaan negeri, katanya.

"LPT Fasa 2 ini mempunyai sedikit kelainan...Bahagian (hak) LPT 2 ini bergantung kepada peruntukan yang telah diberikan oleh pihak kerajaan negeri dan kerajaan pusat (persekutuan)," katanya.

Projek LPT 2 sepanjang 184 kilometer yang bermula dari Jabor, Kemaman ke Kampung Gemuruh, bahagian utara Kuala Terengganu merupakan kesinambungan projek LPT Fasa 1 iaitu dari Karak ke Kuantan sepanjang 159 kilometer yang dimulakan pada Mac 2006 dengan anggaran kos awal projek RM3.7 bilion.

Projek itu terbahagi kepada 16 pakej iaitu 15 pakej dilaksanakan Jabatan Kerja Raya yang ditawarkan secara tender terbuka konvensional dan satu pakej lagi secara rundingan terus dikendalikan Lembaga Lebuhraya Malaysia.

Projek yang sepatutnya siap pada akhir tahun 2010 itu bagaimanapun mengalami masalah apabila beberapa kontraktor yang dilantik gagal menyiapkan kerja mengikut jadual yang ditetapkan berikutan masalah kenaikan harga barang pembinaan di pasaran.

Sumber: Bernama | 15 April 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan