Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 22 April 2014

Dua buah klinik veterinar UMK siap tahun ini

Raduan (kiri) memegang ayam serama yang turut dipamerkan dalam program usahawan ternak di Kampung Veterinar, Padang Tembak, semalam.
KOTA BHARU: Sebanyak RM3 juta diperuntukkan untuk pembinaan dua klinik veterinar Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Kampus Bachok dan Jeli yang bakal disiapkan menjelang tahun ini.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, ini sebagai latihan untuk meningkatkan kemahiran pengalaman klinikal kepada pelajar-pelajar di fakulti veterinar.

“Projek ini akan dibuat segera pada tahun ini juga bagi memberi peluang kepada penduduk kampung, penternak dan pelajar-pelajar kita mendapatkan kemahiran dengan dibantu oleh 26 pensyarah.

“Dengan penubuhan klinik terbabit juga ia bakal jadi pusat latihan sebenar kepada pelajar dengan penambahan alat-alat dan kemudahan di samping diselia pegawai veterinar berpengalaman bagi meningkatkan ilmu," katanya demikian kepada sidang media semalam.

Turut hadir Pendaftar UMK, Prof Dr Razli Che Razak serta Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi Porf Madya dr Mohd Mokhtar Arshad.

Terdahulu, Raduan merasmikan program usahawan ternak anjuran pelajar tahun akhir Fakulti Veterinar UMK Kampus Padang Tembak.

Raduan berkata, setakat ini sebuah klinik seumpama itu, telah pun beroperasi di Kampus Padang Tembak.

Raduan berkata, dengan penambahan dua lagi klinik terbabit, ia bakal memberi pengalaman berguna kepada pelajar hadapi dunia pekerjaan sebenar selepas tamat pengajian.

“Untuk tahun ini, seramai 38 graduan sulung veterinar akan diraikan pada majlis konvokesyen akan datang dan dengan pendedahan seumpama ini kita harap ia lebih memudahkan golongan terbabit dapatkan peluang pekerjaan.

“Selain itu, kita turut terapkan ilmu keusahawanan dalam diri mereka supaya dapat kembangkan kemahiran yang bukan sahaja terhad kepada satu bidang pekerjaan malah mampu menjadi usahawan berjaya pada masa hadapan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 20 April 2014

Tiada ulasan:

Catat Ulasan