KOTA BHARU: Qari dari Machang, Abdullah Fahmi Che Nor serta qariah dari Tanah Merah, Munirah Kasim muncul johan Tilawah al-Quran Peringkat Negeri Kelantan Ke-57 yang berlangsung di Kompleks Islam Darulnaim, di sini malam tadi.
Mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai RM5,000, piala pusingan, pakej umrah, motosikal, cenderamata serta sijil.
Abdullah Fahmi, 30 serta Munirah, 47, juga akan mewakili Kelantan pada Tilawah al-Quran Peringkat Kebangsaan yang di jadual berlangsung di Pahang, pada 13 hingga 17 Mei.
Sementara itu, tempat kedua dimenangi qari dari Tanah Merah, Wan Ainuddin Hilmi Abdullah serta qariah dari Bachok, Radziah Ibrahim yang membawa pulang wang tunai RM4,000, piala iringan serta sijil.
Pemenang tempat ketiga pula ialah qari dari Jeli, Khairul Azwar Alias serta qariah dari Kota Bharu, Che Aminah Ceh Awang yang membawa pulang RM3,000, piala iringan serta sijil.
Upacara pengurniaan hadiah kepada pemenang disempurnakan oleh Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V. Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob; Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Seranta negeri, Datuk Mohd. Nassuruddin Daud.
Seramai 22 qari dan qariah dari seluruh negeri mengambil bahagian pada tilawah kali ini yang bertemakan Al-Quran Asas Perpaduan Ummah.
Sementara itu, Munirah ketika ditemui pemberita berkata, kejayaan itu menebus kekecewaannya tidak dapat mewakili Kelantan pada tahun lalu apabila sekadar mendapat naib johan selain terpaksa menunggu selama 23 tahun sebelum para qariah dibenarkan bertanding oleh kerajaan negeri.
Kali terakhir saya menang ketika berusia 15 tahun, iaitu pada 1982 namun tidak layak mewakili negeri kerana bawah umur. Pada 1990, saya terpaksa berhenti kerana kerajaan negeri tidak membenarkan qariah bertanding," katanya.
Abdullah Fahmi menyifatkan kemenangan itu sebagai pengiktirafan yang akan membakar semangatnya untuk terus mendalami al-Quran dan berazam untuk berusaha sebaik mungkin mewakili Kelantan untuk bertanding di peringkat kebangsaan bulan depan.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 11 April 2014 | Terbitan 12 April 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan