KOTA BHARU: Kerajaan Pas Kelantan akan melaksanakan satu 
gerak kerja dikenali sebagai Inisiatif Kelantan Bebas Asap Rokok (IKBAR)
 bagi melindungi tiga perempat rakyat di negeri ini yang tidak merokok.
Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob (gambar) berkata, menerusi IKBAR, 
setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) diarah mewujudkan beberapa kawasan 
bebas asap rokok di kawasan pentadbiran masing-masing.
'Inisiatif ini pada awalnya dilaksanakan di peringkat Majlis Perbandaran Kota Bharu - Bandar Raya Islam (MPKB-BRI).
'Bagaimanapun selepas melihat perkembangannya, kita optimis untuk 
memperluaskan IKBAR ke seluruh ne-geri dengan penglibatan semua PBT,' 
katanya dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Negeri, Kompleks Kota 
Darulnaim di sini semalam.
Yang turut hadir Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik 
Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan
 dan Alam Sekitar negeri, Datuk Abdul Fattah Mahmood serta Pengarah 
Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ahmad Razin Ahmad Mahir.
Menurut Ahmad, sebagai permulaan, IKBAR dilaksanakan di kawasan 
pentadbiran MPKB-BRI melibatkan dua zon iaitu Dataran Ilmu dan lokasi 
merangkumi Stesen Bas Kota Bharu hingga ke Tambatan Diraja.
'Kita berharap ketua-ketua jabatan agensi kerajaan, swasta serta 
pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut menyokong usaha ini dengan 
memastikan kawasan masing-masing bebas daripada asap rokok.
'Selain itu, kita minta pemimpin setempat termasuk imam-imam serta 
ketua rumah ibadat lain menguar-uarkan perkara ini kepada orang ramai 
dari semasa ke semasa,' katanya.
Sementara itu, Abdul Fattah memberitahu, peringkat awal pelaksanaan 
IKBAR memberi tumpuan kepada usaha memberi kesedaran orang ramai tentang
 zon bebas asap rokok, bukan menghukum perokok.
Katanya, kawasan yang diwartakan sebagai zon bebas asap rokok boleh 
dikenal pasti dengan mudah oleh orang ramai menerusi pemasangan papan 
tanda khas.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 18 April 2014 | Terbitan 19 April 2014 

Tiada ulasan:
Catat Ulasan