TANAH MERAH: Seramai enam peserta projek Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) Batang Merbau di sini, dijangka memperoleh peningkatan pendapatan sehingga RM300,000 dalam tempoh tiga musim tahun ini.
Pengeluaran tanaman rock melon yang diusahakan menggunakan sistem Sektor Perlindungan Hujan (SPH) di kawasan itu membolehkan mereka menghasilkan tanaman gred A dan mampu mencatatkan harga pasaran yang tinggi.
Permulaan projek yang bermula pada tahun 2009 itu mencatatkan pendapatan RM2,000 sebulan tetapi tahun ini dijangka meningkat sehingga RM4,500 seorang di kawasan tanaman seluas kira-kira 1.1 hektar dengan penggunaan lebih 60 unit SPH.
Pengarah Pertanian Negeri Kelantan, Abdullah Ismail berkata, kejayaan itu diperoleh berikutan kerjasama dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) negeri Kelantan yang mengendalikan pasaran hasil tanaman tersebut.
Beliau berkata, peserta hanya menumpukan perhatian mengeluarkan hasil tanaman terbaik tanpa perlu memikirkan pasarannya.
Kerjasama itu juga memastikan hasil pengeluaran dari projek TKPM itu mendapat pasaran dalam dan luar Kelantan," katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Ladang Kontrak Peserta TKPM Batang Merbau di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pengarah FAMA Wilayah Timur dan RTC Kelantan, Ariffin Awang; Timbalannya, Muhamad Fadlee Hassan; Timbalan Pengarah Pertanian (Bahagian Pengembangan),Che Mohd. Nor Che Endok dan Pegawai Pertanian Jajahan Tanah Merah, Mohd. Nazmin Ismail.
Menurut Abdullah, peserta projek TKPM itu juga dijangka akan menghasilkan kira-kira 36 tan buah tersebut pada musim ini manakala musim kedua dan ketiga akan bermula mengikut keadaan semasa.
Kawasan untuk tanaman berkenaan juga akan diperluaskan dari semasa ke semasa," katanya. Beliau memberitahu, komitmen yang ditunjukkan oleh FAMA dan Jabatan Pertanian bagi meningkatkan pendapatan petani terlibat membolehkan perjanjian jual beli itu dapat diadakan.
Justeru katanya, setakat ini dua kawasan projek TKPM di negeri ini iaitu kawasan TKPM Lojing, Gua Musang dan TKPM Batang Merbau telahpun mengadakan perjanjian jual beli itu.
Sementara itu, Ariffin Awang berkata, sepanjang tahun 2013, pihaknya mengendalikan jualan barangan berjumlah RM217 juta.
Katanya, pendapatan itu diperoleh melalui penglibatan 617 peserta dalam pelbagai bidang perniagaan dan keusahawanan.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 11 April 2014 | Terbitan 12 April 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan