Pegawai penguat kuasa memeriksa harga barang keperluan di sebuah kedai di Gua Musang, baru-baru ini. |
GUA MUSANG: Penduduk di daerah ini menanggung kos sara hidup paling tinggi di negeri ini, kata Gerakan Pengguna Gua Musang.
Malah, beberapa penduduk yang ditemui mengakui bahawa masalah harga barang bukan isu baharu sebaliknya telah berlaku lama kerana kedudukannya jauh dari pusat pentadbiran.
Pengerusi Gerakan Pengguna Gua Musang, Abu Bakar Jusoh berkata, walaupun terletak paling hampir dengan Kuala Lumpur, daerah ini bukan pusat transit barangan menyebabkan kebanyakan barangan dijual dengan harga lebih tinggi.
Kebanyakan barangan basah datang dari jauh antaranya Kota Bharu, Kuala Lumpur dan Selangor, perkara ini menyebabkan kos meningkat.
Peniaga terpaksa menaikkan harga barang dijual kerana kos pengangkutan yang tinggi," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau berharap kerajaan dapat membantu penduduk di daerah ini dengan mewujudkan beberapa mekanisme bagi memastikan harga barang tidak melambung terlalu tinggi sehingga amat membebankan kebanyakan pengguna.
Seorang peniaga, Azura Jusoh, 43, berkata, barangan jualannya tertakluk kepada harga yang dikenakan oleh pihak pemborong.
Kita terpaksa mengikut harga semasa sebab modal pun meningkat, macam mana kita nak menjual dengan harga biasa.
Kadang-kadang wujud masalah dengan pelanggan yang tidak dapat menerima kenaikan harga barang serta ada pelanggan yang membandingkan harga di Gua Musang dengan daerah lain," katanya.
Katanya, harga barang akan melambung lebih tinggi di kawasan kampung kerana barang-barang terpaksa diangkut dari bandar Gua Musang.
Sementara itu, seorang penduduk, Hasnah Deraman, 40, berharap pihak berkuasa dapat mengadakan pemantauan secara lebih kerap supaya tidak ada peniaga mengambil kesempatan dengan sewenang-wenangnya.
Saya mohon pemantauan harga barangan diadakan lebih kerap kerana ada peniaga yang mengambil kesempatan dengan meletak harga terlalu tinggi.
Kalau orang yang ada anak seorang dua, mungkin tidak terasa sangat dengan kos sara hidup sekarang tetapi yang mempunyai bilangan anak ramai, memang terasa bebanannya," katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Edisi Timur | 2 April 2014 | Terbitan 3 April 2014
Tiada ulasan:
Catat Ulasan