Sebanyak 23 keluarga di Kampung Lubok Gong kecewa apabila masalah air di sini masih tidak dapat diselesaikan. |
Salah seorang penduduk, Zuariah Zakaria, 54 berkata, setiap kali masalah itu diajukan, pemimpin di sini memberi alasan ‘tunggulah sekarang tak ada masa lagi nanti kami tengok’.
Katanya, air perigi yang digunakan bukan sahaja tidak sesuai digunakan untuk memasak, malah tidak selamat untuk mandi kerana menyebabkan masalah kulit.
“Saya dah habis sabar nak dengar alasan mereka, sedangkan saya yang hadap masalah ni setiap hari," katanya.
Zuariah berkata, selepas mendengar alasan sama diberi ketika mengutarakan masalah tersebut tiga bulan lalu, dia sedar pemimpin berkenaan mungkin tidak dapat menyelesaikan masalah ini sepertimana yang digambarkan.
Sementara itu, Alipa Haron pula berkata, sebanyak 23 keluarga di sini mengharapkan pihak berkenaan dapat membantu menyediakan kemudahan bekalan air bersih dengan segera.
Menurutnya, ketika ini penduduk terpaksa mengharapkan bekalan air perigi yang berbau, kotor dan berkeladak.
“Rata-rata penduduk kerja sebagai penoreh dan tak mampu sediakan kemudahan bekalan air yang mungkin mencecah ribuan ringgit. “Kami sangat harap bantuan pihak berkenaan supaya kami tak perlu lagi guna air perigi kotor atau beli air semata-mata untuk mandi, masak dan membasuh,” katanya.
Sumber: Sinar Harian | Edisi Kelantan | 11 Julai 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan