KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan Jabatan Insolvensi (MDI) disaran membuka kaunter atau kiosk di Terminal KLIA 1 dan Terminal KLIA 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bagi memudahkan urusan orang awam yang disekat daripada ke luar negara.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali berkata langkah itu selaras dengan tindakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membuka kaunternya di Terminal KLIA 2 bagi memudahkan peminjam, yang mempunyai tunggakan dan disekat daripada keluar negara, menjelaskan bayaran mereka serta memeriksa status senarai hitam.
"Saya ingin menegaskan bahawa kami (Imigresen) hanya mengurus tadbir sebanyak 177 pintu masuk dan keluar negara. Jabatan Imigresen tidak membuat sekatan berkenaan (sekatan ke luar negara).
"Orang ramai sering menyalahkan kami sekiranya mereka dihalang ke luar negara walhal itu merupakan urusan mereka dengan agensi-agensi berkenaan," katanya pada sidang berita mengenai Op Mega di Kompleks Kementerian Dalam Negeri di sini, hari ini.
Mustafar berkata sekiranya LHDN dan MDI membuka kaunter berkenaan di KLIA, yang merupakan pintu masuk dan keluar utama negara, urusan berkaitan semakan pinjaman dan penyenaraian hitam nama dapat dibuat dengan lebih pantas.
"Jabatan Imigresen sentiasa memikirkan kaedah terbaik bagi memudahkan dan melancarkan urusan orang awam sebelum mereka dihalang ke luar negara. Lagi banyak agensi berkaitan membuka kaunter di pintu masuk negara, lagi cepatlah urusan mereka.
"Oleh itu, usaha PTPTN wajar dicontohi oleh agensi lain yang berkaitan bagi memudahkan urusan mereka yang disekat daripada ke luar negara," katanya.
Pada 16 Mac lepas, PTPTN membuka kaunter di Terminal KLIA 2 bagi memudahkan peminjam disenarai hitam membayar pinjaman mereka sebelum ke luar negara. Kaunter berkenaan beroperasi 24 jam dan pegawai bertugas turut menyediakan khidmat rundingan kepada peminjam terbabit.
Ditanya mengenai dakwaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) bahawa ia mengalami kerugian RM2 juta setiap hari kerana kekurangan pekerja mengumpul hasil kelapa sawit berikutan pelaksanaan Op Mega, Mustafar berkata jabatan itu melakukan tindakan penangkapan pendatang asing tanpa izin (PATI) mengikut peruntukan lunas undang-undang yang ditetapkan serta tidak memilih kasih.
"Mana-mana institusi atau organisasi perlu melalui proses undang-undang iaitu mendapatkan atau menggaji pekerja asing dengan menggunakan cara yang sah. Jika ikut cara sah untuk mendapatkan pekerja asing, ia tidak menjadi masalah kepada kami," katanya.
Sumber: Bernama | 19 Julai 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan