Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 27 Julai 2017

22 wat di Kelantan diwarta sebagai pusat rekreasi, kebudayaan

TUMPAT: Kelantan akan mewartakan 22 wat sebagai tapak rekreasi dan kebudayaan masyarakat Siam secara berperingkat jika memenuhi syarat yang ditetapkan.

Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berkata setakat ini sembilan wat di Tumpat telah diwartakan manakala bakinya di Bachok, Pasir Mas dan Tanah Merah, akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

"Di Tumpat ada 12 wat dengan sembilan telah diwartakan. Kita akan selesaikan pewartaan di Tumpat sebelum bergerak ke jajahan-jajahan lain.

"Antara syarat yang mesti dipatuhi termasuklah wat berkenaan perlu aktif sebagai pusat rekreasi dan kebudayaan, merangkumi aktiviti pembelajaran dan taklimat, majlis perkahwinan dan sebagainya yang berkaitan dengan masyarakat itu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Penyampaian Warta Kerajaan Kelantan - Tapak Wat Kepada Majlis Sangha Kelantan di Wat Phikulthong di Kampung Terbok di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Majlis Sangha Kelantan Phra Phisansammanakit, Konsulat Jeneral Diraja Thailand ke Kota Bharu Paitoon Songkaew dan Ketua Jajahan Tumpat Rosnazli Amin.

Sembilan wat yang menerima sijil pewartaan hari ini adalah Wat Machimmaram, Wat Pracumthart Canaram, Wat Sukhontharam dan Wat Phikulyai di Kampung Bunohan, Wat Mai Suwankhiri dan Wat Chonprachumthat di Kampung Selehong Utara, Wat Phothiviharn di Kampung Jal, Wat Prachumchow Nawa Silaloy di Kampung Ketil dan Wat Pracacinaram di Kampung Wakaf Delima.

Ahmad berkata Majlis Sangha Kelantan telah ditugaskan bagi menyelia kesemua wat di negeri ini dan proses teknikal bagi pewartaan tersebut telah dijalankan sejak beberapa tahun lepas.

Sumber: Bernama | 27 Julai 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan