Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 20 Julai 2017

PEKA gesa perintah moratorium pembalakan di kawasan teruk terjejas

BENTONG: Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil menggesa kerajaan persekutuan supaya mengenakan perintah moratorium pembalakan yang dikuatkuasakan di kawasan terjejas aktiviti itu.

Beliau berkata perintah moratorium perlu bagi memberi tempoh masa kepada kawasan yang terjejas untuk 'pulih' selepas hasil khazanah alam itu ditebang, sama ada atas alasan pembangunan, perladangan atau membuka kebun sayur.

Katanya aktiviti pembalakan semakin kerap berlaku termasuk di kawasan berhampiran kawasan tadahan air dan cerun bukit yang meningkatkan risiko bencana alam seperti banjir lumpur, banjir laju atau tanah runtuh.

"Jika perintah moratorium boleh dilakukan ke atas bauksit kerana mengakibatkan pencemaran, mengapa tindakan serupa tidak boleh dilakukan terhadap aktiviti pembalakan? Ia melibatkan kemusnahan alam.

"Kami bukan antipembalakan. Kami sedar pembalakan adalah satu pendapatan namun aktiviti ini harus dilakukan seperti orang yang berpelajaran...yang ditebang seharusnya ditanam semula dan pembalakan tidak boleh berlaku secara rakus.

"Pembalakan yang berlaku pada masa ini seperti tidak mengikut peraturan. Pemantauan kurang dan kami sukar mendapatkan kerjasama dalam usaha memelihara alam sekitar," katanya kepada pemberita selepas membuat tinjauan udara aktiviti pembalakan sekitar daerah ini, hari ini.

Turut serta dalam tinjauan udara itu ialah Pengarah Bahagian Pelaksanaan Operasi Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) DCP Datuk Azizan Abu Taat.

Shariffa Sabrina menambah kata, berdasarkan pemantauannya hari ini, kegiatan aktiviti pembalakan berlaku dengan begitu ketara termasuk di cerun bukit, selain terdapat kesan pembalakan dan laluan jalan tanah merah di kawasan hutan.

Ini katanya, menimbulkan persoalan sama ada kegiatan itu termasuk membuka ladang kelapa sawit baharu atau kebun sayur berlaku, dalam pengetahuan pihak berkuasa termasuk kerajaan negeri Pahang atau berjalan secara haram.

"Sebab itu pemantauan daripada pihak penguatkuasaan perlu sentiasa dilakukan. Mereka perlu sentiasa turun padang kerana menjaga alam sekitar bukan kerja bermusim. Jangan biarkan insiden Cameron Highlands berulang kerana semasa itu sudah lewat untuk kita perbaiki kesilapan.

"Seperti kebun sayur, tidak sepatutnya diberikan kebenaran untuk membuka kebun di cerun bukit kerana berisiko berlaku tanah runtuh atau banjir lumpur. Namun daripada pemantauan, berlaku aktiviti di kawasan sekitar Bukit Tinggi dan Genting Sempah.

"Membuka hutan (berlaku) dengan sangat cepat dan berleluasa tanpa ada pemantauan pihak berwajib. Sepatutnya pihak yang diberi amanah menjalankan tanggungjawab dengan lebih tegas dalam menghentikan aktiviti penggondolan hutan," katanya.

Shariffa Sabrina berkata PEKA sentiasa berlapang dada untuk bertemu dan berbincang dengan jabatan, kerajaan negeri atau pihak berkuasa dalam mencari penyelesaian masalah ini, namun mendakwa sukar mendapat maklum balas positif daripada pihak berkenaan.

Shariffa Sabrina yang juga Kolonel Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam (APM) menegaskan bahawa bencana alam bukan sahaja berisiko melibatkan kematian atau kecederaan tetapi juga kerajaan perlu mengeluarkan belanja yang banyak untuk kerja pemulihan.

Sementara itu, Azizan berkata tinjauan udara itu dilakukan bagi menyemak kesahihan aduan aktiviti penerokaan hutan di Bentong, supaya maklumat tepat boleh disalurkan kepada pihak berwajib agar tindakan boleh diambil.

Sumber: Bernama | 19 Julai 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan