Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 13 Julai 2017

SPRM tahan dua lelaki cuba sogok inspektor polis RM5,000

KOTA BHARU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua lelaki yang cuba merasuah anggota polis sebanyak RM5,000 supaya dilepaskan atas beberapa kes jenayah, semalam.

Pengarah SPRM Kelantan Datuk Moh Samsuddin Yusof berkata dua lelaki berumur 30 dan 45 tahun yang bekerja sebagai buruh, ditahan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

"Buat masa sekarang kes sedang dilengkapkan oleh pihak kami (SPRM) sebelum diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk pertuduhan di mahkamah," katanya ketika ditemui pada majlis sambutan Aidilfitri peringkat Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini hari ini.

Moh Samsuddin meminta penjawat awam supaya segera merujuk kepada pihak berkaitan sekiranya ditawarkan rasuah supaya tindakan segera dapat diambil.

Sementara itu, mengulas kes sama, Ketua Polis Kelantan Datuk Hasanuddin Hassan berkata dua lelaki terbabit ditahan dalam satu operasi Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Puteh, Ahad lepas.

Beliau berkata suspek didapati melakukan kesalahan berkaitan dadah, casis motosikal meragukan, gagal mengemukakan kad pengenalan serta memiliki senapang angin di Kampung Seligi, Pasir Puteh, kira-kira 1.35 tengah hari.

"Suspek didapati cuba beberapa kali merasuah pegawai itu sehinggalah satu laporan dibuat kepada SPRM. Susulan daripada laporan yang dibuat, sepasukan pegawai SPRM kemudiannya membuat tangkapan terhadap kedua-dua suspek atas kesalahan cuba memberi dan menawarkan rasuah kepada pegawai kami," katanya.

Sumber: Bernama | 12 Julai 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan