Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Khamis, 6 Julai 2017

Kerajaan Kelantan disaran kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan pindah penduduk tebing Sungai Golok

MACHANG: Kerajaan Negeri Kelantan disaran bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan bagi melaksanakan cadangan perpindahan penduduk yang tinggal di tebing Sungai Golok, Rantau Panjang untuk membendung penyeludupan dadah di kawasan sempadan Malaysia - Thailand, di negeri itu.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata cadangan itu sukar untuk dilaksanakan dalam tempoh terdekat tanpa kerjasama kedua-dua pihak.

"Kerajaan Persekutuan memerlukan tapak (tanah) yang terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri untuk membina rumah bagi menempatkan penduduk terbabit," katanya kepada pemberita pada majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Machang di kediamannya di sini, hari ini.

Selasa lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan penduduk yang tinggal di sepanjang Sungai Golok, Rantau Panjang yang bersempadan dengan Thailand perlu dipindahkan bagi membendung pengedaran dadah menerusi kewujudan pangkalan haram dan jeti persendirian di sepanjang sungai itu.

Ahmad Jazlan yang juga Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan berkata Kerajaan Persekutuan mampu membina rumah kepada penduduk terbabit melaalui beberapa program termasuk Projek Perumahan Rakyat Termiskin bagi mereka yang dikategorikan sebagai miskin tegar dan rumah mesra rakyat bagi golongan yang berpendapatan sederhana.

"Bagaimanapun projek-projek itu memerlukan tanah untuk dijadikan tapak pembinaannya daripada kerajaan negeri," katanya yang juga Anggota Parlimen Machang.

Beliau berkata kerajaan negeri perlu mengetepikan kepentingan politik sebaliknya lebih mengutamakan kepentingan rakyat kerana Kelantan merupakan antara negeri tertinggi jumlah penduduknya yang terbabit dengan penyalahgunaan dadah.

Sumber: Bernama | 6 Julai 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan