Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Ahad, 23 Julai 2017

KKMM fokus naik taraf kemudahan internet di seluruh negara

KUALA TERENGGANU: Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) akan terus membuat penambahbaikan dan menaik taraf capaian internet di seluruh negara termasuk di kawasan luar bandar bagi memastikan tiada rakyat ketinggalan menikmati kemudahan itu.

Menterinya, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata beliau telah mengarahkan semua pegawai di kementerian mengenal pasti kawasan yang masih belum mempunyai capaian internet atau kelajuannya masih di tahap tidak memuaskan.

"Saya juga akan bertanya sendiri kepada pemimpin setempat mengenai masalah dalam perkhidmatan internet di kawasan mereka agar kita boleh mencari jalan penyelesaian.

"Contohnya hari ini, saya berbincang dengan Datuk Mohd Sabri Alwi (Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu) mengenai perkembangan internet di daerah ini agar penduduk Kuala Terengganu juga mampu menggunakan kemudahan internet dengan baik sama seperti penduduk di bandar besar lain seperti Kuala Lumpur," katanya.

Bercakap kepada pemberita di majlis tautan kasih Aidilfitri UMNO Kuala Terengganu di sini hari ini, beliau berkata menjelang tahun 2020, kerajaan menyasarkan sekurang-kurangnya 95 peratus daripada rakyat Malaysia akan mempunyai akses kepada internet selaras perkembangan teknologi semasa.

Mengulas lanjut, Salleh berkata kementerian sentiasa mengambil berat sebarang laporan mengenai kemudahan internet bagi memastikan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam membangunkan digital ekonomi tercapai.

"Sebab itu kita selalu mendengar dan meneliti apa sahaja kelemahan yang ada untuk diperbaiki segera di peringkat kementerian supaya rakyat Malaysia dapat bersaing dengan rakyat negara lain menggunakan kemudahan internet terbaik yang disediakan kerajaan," katanya. 

Sumber: Bernama | 22 Julai 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan