Apa yang menarik, enam jenis nasi bungkus yang terdiri daripada lauk ayam goreng, ayam gulai, gulai ikan tongkol, daging goreng, nasi kerabu dan nasi lemak itu dijual dengan harga RM1 sebungkus.
Inisiatif yang dibuat tiga sahabat iaitu Nik Muhd Faris Nik Mohd Rosdi, 23, Mohamad Nor Afif Othman, 22 dan Abdul Fattah Mohd Sukry, 25, agak memeranjatkan pembeli kerana mereka seperti tidak percaya dapat membeli dengan harga yang begitu murah.
Nik Muhd Faris berkata lima jenis nasi berlauk itu dibuat oleh ibunya, Hamidah Mamat, 45, manakala nasi lemak pula dibuat oleh ibu Mohamad Nor Afif, Fatimah Seman, 53.
"Kami kerap ditanya soalan mengenai untung malah ada yang bertanya lanjut adakah harga itu mampu memberikan pulangan modal.
"Memang setiap penjual inginkan untung tidak terkecuali kami tapi apa yang kami buat ini lebih kepada ihsan kerana tidak semua orang mampu membeli nasi bungkus yang rata-ratanya berharga RM3 ke atas," katanya ketika ditemui di Wakaf Bharu di sini sebentar tadi.
Nik Muhd Faris yang juga seorang pemegang diploma teknologi minyak dan gas daripada sebuah kolej swasta di Pulau Pinang, berkata idea menjual nasi bungkus dengan harga RM1 timbul apabila melihat ada peniaga menjual nasi lemak dengan harga yang sama di negeri itu.
Sebaik menamatkan pengajian empat bulan lalu, beliau mengambil keputusan bersama dua lagi rakannya membuat perniagaan sama namun menambahkan menu sesuai dengan cita rasa masyarakat negeri ini.
"Pada mulanya kami menjual sebanyak 100 bungkus saja bagi melihat sejauh mana potensi nasi bungkus ini dapat terjual.
"Sebaik melihat sambutan yang semakin menggalakkan, kami menambahkan jumlahnya menjadikan 400 bungkus sehari dan walaupun dengan harga RM1 kami masih lagi mendapat keuntungan meskipun tidak besar," katanya sambil memberitahu nasi bungkus ayam goreng paling mendapat sambutan.
Sumber: Berita Harian | Edisi Timur | 11 Julai 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan