Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Jumaat, 7 Julai 2017

Tiada cukai pelancongan kepada hotel tiga bintang ke bawah disambut baik

KUALA TERENGGANU: Persatuan Tunas Usahawan Terengganu (Patut) menyambut baik langkah kerajaan mengecualikan cukai pelancongan kepada hotel bertaraf tiga bintang ke bawah. 

Presidennya Amir Hakimin Che Razali berkata pengumuman itu memberi kelegaan kepada golongan sederhana dan kurang mampu yang ingin melancong di dalam negara.

"Langkah ini juga memperlihatkan keprihatinan kerajaan kepada suara rakyat apabila isu cukai ini mendapat maklum balas yang kurang disenangi oleh netizen, tambahan kos sara hidup semakin meningkat.

"Perubahan pelaksanaan cukai tersebut juga dilihat penting bagi memastikan kesejahteraan rakyat secara keseluruhan apatah lagi kuasa membeli rakyat ketika ini tidak semewah dahulu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengumumkan pengecualian cukai pelancongan terhadap hotel tiga bintang ke bawah yang akan mula dilaksanakan 1 Ogos depan.

Turut dikecualikan cukai berkenaan ialah pelancong asing yang sudah membuat tempahan penginapan dengan ejen pelancongan di negara ini untuk tempoh hingga 31 Mac 2018.

Amir Hakimin berkata Patut yakin dengan keputusan positif daripada kerajaan ini akan dapat melonjakkan lagi pemain industri perhotelan bertaraf tiga bintang ke bawah di Malaysia yang kebanyakannya bergantung kepada pelancong tempatan. 

"Kebelakangan ini juga kita melihat ramai golongan anak muda di Terengganu sudah mula menceburi industri perhotelan dan pelancongan yang melihat ia mampu memberikan pulangan yang lumayan.

"Walaupun cukai pelancongan dikenakan kepada hotel bertaraf empat bintang ke atas sahaja, Patut menjangkakan kerajaan dianggarkan mampu menjana kutipan RM654.62 juta sekiranya kadar penginapan semalaman bagi keseluruhan 11 juta bilik bertaraf empat bintang ke atas di negara ini mencapai 60 peratus," katanya.

Beliau berkata, ia sekali gus dapat menampung perbelanjaan kerajaan terutama kos mempromosikan negara kepada pelancong luar dan kos promosi ini bukanlah kecil.

Strategi promosi perlu dijalankan secara berterusan bagi menarik kedatangan pelancong luar ke Malaysia yang mana akan memberikan kebaikan kepada banyak pihak, katanya. 

Sumber: Bernama | 7 Julai 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan