KOTA BHARU: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Kelantan menyasarkan nilai urus niaga di Pusat Tranformasi Luar Bandar (RTC) Kelantan mencecah RM1 bilion menjelang 2020.
Pengarah FAMA Kelantan, Ibrahim Mahmood berkata bagi tujuan itu, jumlah peserta akan ditambah kepada 1,000 orang dalam tempoh tiga tahun berbanding 616 peserta tahun ini.
"Pertambahan kluster urus niaga baharu seperti medan selera, pasarina (pasar khusus untuk jualan barangan keperluan wanita) dan tapak jualan bunga akan dibuka pada September ini, selain meningkatkan aktiviti pemborongan, peruncitan serta pemasaran produk pertanian dan industri asas tani,"katanya kepada pemberita pada majlis bertemu pelanggan dan sambutan Aidilfitri di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Ibrahim berkata bagi tahun ini, FAMA menyasarkan untuk mencapai sasaran perolehan urus niaga bernilai RM700 juta berbanding RM360 juta pada tahun lepas.
Beliau yakin ia mampu dicapai berdasarkan perolehan semasa RM200 juta setakat ini selain sokongan menggalakkan daripada peserta dan pembeli.
Menurutnya, pada masa ini sebanyak 300 lot kedai untuk aktiviti borong dan peruncitan bagi hasil laut, sayur, buah-buahan serta makanan beroperasi 24 jam di dalam kawasan RTC.
Selain itu katanya, FAMA turut mengenal pasti seramai 95 peserta pasarina dan 16 pengusaha medan selera yang akan merancakkan lagi urus niaga di RTC Kelantan bermula September ini.
Malah, FAMA juga menyediakan tapak untuk peniaga kecil yang berminat menjual hasil pertanian bermusim seperti durian.
Sumber: Bernama | 23 Julai 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan