Nozula Mat Diah |
GUA MUSANG: Masalah bekalan air bersih yang membelenggu 1,500 penduduk di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Chalil di sini bakal diatasi apabila projek pemasangan paip bernilai RM4.8 juta ke kawasan itu dijangka siap sepenuhnya awal tahun depan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paloh, Datuk Nozula Mat Diah berkata, projek yang mengambil masa hampir setahun itu bakal memberi manfaat serta menyelesaikan masalah bekalan yang dihadapi penduduk sejak lebih 30 tahun lalu.
Beliau berkata, projek Bekalan Air Luar Bandar (BALB) yang dilaksanakan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu juga akan dilengkapi dengan tangki rawatan air yang baharu untuk meningkatkan kapasiti bekalan.
“Sebelum ini kira-kira 350 keluarga di sini merungut kerana terpaksa menggunakan air tadahan bukit yang tidak terjamin mutu kebersihannya sejak sekian lama.
“Kami berterima kasih kepada pihak kerajaan yang prihatin dengan masalah penduduk kampung di kawasan pedalaman.
“Projek ini telah bermula bulan Mac dan dijangka siap November ini. Namun, terdapat beberapa sebab seperti menunggu peruntukan tambahan menyebabkan projek ini terlewat sedikit daripada jadual asal,” katanya di sini hari ini.
Sementara itu, Timbalan Ketua peneroka RKT Kesedar Chalil, Padzluddin Hamid berkata, penduduk kampung mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan kerana banyak membantu peneroka agar meneruskan kehidupan dengan lebih baik.
“Air tadahan yang kami gunakan sejak tahun 1985 dahulu kerap tercemar apabila terdapat aktiviti perladangan menyebabkan air menjadi keruh dan kotor setiap kali hujan lebat,” katanya.
“Bagaimanapun, kami lega kerana selepas projek ini siap kami dapat menikmati air bersih yang lebih terjamin kualitinya untuk melakukan urusan seharian seperti memasak, mandi dan membasuh pakaian.
“Projek itu turut merangkumi pemasangan paip air baharu ke rumah penduduk bagi melancarkan pengagihan sumber air bersih,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 18 Julai 2017 | Terbitan 19 Julai 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan