Tuan
Ibrahim Tuan Man (dua dari kiri) dan Ahmad Yakob (kiri) menunjukkan logo
program Persidangan Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah (Rantau Asia) di Kota
Bharu, Kelantan, baru-baru ini.
|
KOTA BHARU: Ijtimak Antarabangsa Perpaduan Ummah Rantau Asia Kali ke-4 yang bakal berlangsung di sini bermula 20 hingga 22 Julai ini bukan sahaja bertujuan mencari resolusi bagi isu keganasan militan Daesh bahkan juga kaedah menangani golongan ekstremis liberal.
Pengerusi bersama program tersebut, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, program anjuran Kesatuan Ulama Sedunia dengan kerjasama Kerajaan Pas Kelantan itu amat penting dalam suasana negara Islam di Asia Barat yang sedang dilanda kemelut seperti tekanan yang dihadapi Qatar serta peningkatan masalah Islamophobia seluruh dunia.
Beliau berkata, pihaknya menjangkakan ijtimak selama tiga hari itu akan menarik kehadiran lebih 100,000 aktivis dakwah dan gerakan Islam dari dalam dan luar negara.
“Pas menentang sebarang gerakan ekstremis yang mensasarkan masyarakat awam yang langsung tidak kena mengena dengan kemelut yang berlaku.
“Golongan kiri seperti Islam Liberal juga kini semakin menunjukkan penentangan dan mereka menjadi ancaman serta masalah kepada fahaman Islam sederhana.
“Kita harap ijtimak ini akan menjurus kepada satu pelan tindakan bagaimana menangani isu ini dan dapat membina persepsi baharu terhadap gambaran Islam yang sebenar khususnya di negara bukan Islam,” katanya kepada pemberita di sini baru-baru ini.
Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob.
Sementara itu, Tuan Ibrahim yang juga Timbalan Presiden Pas berkata, sempena ijtimak tersebut, tiga program utama akan berjalan serentak di beberapa lokasi termasuk Stadium Sultan Muhammad IV di sini.
Katanya, program tersebut ialah Persidangan Dakwah Antarabangsa Rantau Asia; Nadwah Ulamak Antarabangsa Rantau Asia dan Ijtimak Kelantan 2017.
“Antara ulama yang dijemput adalah tokoh antarabangsa Dr. Yusof Al Qaradawi selain tokoh besar Islam dari negara serantau seperti Indonesia, Brunei, Thailand dan India.
“Antara delegasi luar yang hadir ke ijtimak itu mewakili 17 negara termasuk Sri Lanka, Sudan, Jepun, Kosovo dan Bosnia,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 6 Julai 2017 | Terbitan 7 Julai 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan