Suasana
di Lembangan Sungai Pengkalan Datu, Kota Bharu, bakal berubah apabila satu lagi
pasar terapung bakal dibina.
|
KOTA BHARU: Selepas pasar terapung pertama diperkenalkan di Pulau Suri, Tumpat tahun lalu, satu lagi pasar yang menggunakan pendekatan serupa akan dibuka di Lembangan Sungai Pengkalan Datu (LSPD), di sini bermula 9 September depan.
Pengerusi Persatuan Warisan Lembangan Sungai Pengkalan Datu (Waspada), Mohd. Asri Husin berkata, pasar tersebut merupakan sebuah pasar tani berkonsepkan pelancongan dan akan dibuka dalam skala yang jauh lebih besar.
“Setakat ini perbincangan telah dilakukan dengan pelbagai agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi merealisasikan rancangan tersebut.
“Pasar tani pelancongan ini merupakan gabungan pasar di daratan dan pasar terapung. Diharap usaha ini dapat mempromosikan LSPD sebagai hab pelancongan baharu di Kelantan selain meningkatkan sosioekonomi penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Program Lawatan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti-Universiti Awam ke LSPD, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK, Prof. Datuk Dr. Ibrahim Che Omar.
Mengulas lanjut, Mohd. Asri berkata, sebagai permulaan, pihaknya menyasarkan untuk menarik kira-kira 60 peniaga tempatan bagi menyertai pasar tani pelancongan itu.
“Esok kami akan adakan pertemuan dengan peniaga-peniaga dan memberi taklimat kepada mereka mengenai pasar tani pelancongan yang akan dibuka di Pengkalan Datu.
“Kita akan terangkan lebih lanjut mengenai keperluan pemasaran, prospek perniagaan dan bagaimana mereka boleh menjana keuntungan apabila menyertai pasar tersebut,” katanya.
Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 11 Julai 2017 | Terbitan 12 Julai 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan