KOTA BHARU: Kelantan menunjukkan potensi besar dalam industri penternakan ikan dalam sangkar (akuakultur) dengan penyertaan penternak kini melebihi 1,000 orang meliputi kawasan ternakan seluas 280 hektar.
Ketua Pengarah Perikanan, Datuk Ismail Abu Hassan berkata, sehingga pertengahan tahun ini, penternak di negeri ini telah memungut kira-kira 4,000 tan metrik ikan sangkar pelbagai spesies seperti kerapu hybrid, siakap, keli, tilapia dan patin yang mendapat sambutan tinggi di pasaran.
Beliau berkata, pihaknya menyasarkan hasil ikan sangkar di negeri ini boleh mencecah sehingga RM30 juta tahun ini berbanding RM21 juta tahun lalu yang terjejas akibat fenomena El Nino.
“Kita perlu berusaha tingkatkan pengeluaran kerana tidak mahu lagi terpaksa bergantung kepada ikan import dari Thailand.
“Potensi bidang akuakultur di negeri ini sangat besar kerana ia mempunyai kelebihan dari sudut keluasan kawasan penternakan, sumber air dan sebagainya, hanya kita memerlukan penyertaan lebih ramai pengusaha manakala pengusaha yang sedia ada meningkatan hasil pengeluaran mereka.
“Aktiviti penternakan ikan juga dapat meningkatkan pendapatan dan taraf hidup golongan nelayan tradisi menangani ketidakstabilan punca pendapatan pada musim tengkujuh,” katanya kepada pemberita di Program Perundingan Industri Akuakultur Peringkat negeri di PCB Resort di sini semalam.
Yang turut hadir, Pengarah Kanan Bahagian Biosekuriti Perikanan, Dr. Marzuki Hashim; Pengarah Kanan Bahagian Pembangunan Latihan dan Kemajuan Kerjaya, Abd. Khalil Abd. Karim dan Pengarah Perikanan negeri, Anuar Salam Sulaiman.
Pada majlis itu, Ismail turut menyampaikan Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM73,900 kepada 150 pengusaha ikan sangkar yang terjejas akibat fenomena El Nino tahun lalu.
Sementara itu, Ismail berkata, beliau berbangga kerana pendaratan ikan pantai dan laut dalam di negeri ini meningkat dengan drastik dalam tempoh sedekad daripada hanya sekitar 62,000 tan metrik pada 2004 kepada 218,800 tan metrik tahun lalu.
“Ini adalah hasil daripada inisiatif jabatan memperketatkan syarat lesen serta memperkukuh system pendaratan ikan di pelabuhan perikanan utama melalui pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dan penggunaan pas keluar masuk vesel laut dalam,” katanya.
Dalam pada itu, salah seorang penerima bantuan wang ihsan, Siti Maryam Kang, 68, berkata, bantuan Kerajaan Persekutuan itu sangat diperlukan apatah lagi dia mengalami kerugian lebih RM45,000 setelah kesemua 27 sangkar ikannya di Pantai Tujuh, Tumpat musnah akibat banjir.
Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 27 Julai 2017 | Terbitan 28 Julai 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan