Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 11 Julai 2017

Wartakan jelapang padi Machang di bawah KADA

Ahmad Jazlan Yakob (tengah) memakai topi sebagai persediaan untuk turut serta dalam Program Turun Padang Menabur Benih Padi di Bendang Telaga Tujuh, Machang, Kelantan, kelmarin.
MACHANG: Kerajaan Pas Kelantan diminta supaya me­wartakan kawasan jelapang padi di daerah ini di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) bagi meningkatkan hasil pengeluaran makanan ruji itu.

Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yakob berkata, di daerah itu terdapat banyak kawasan sawah padi yang terbiar dan tidak diusahakan kerana tiada badan khusus untuk memantau serta membantu petani bercucuk tanam seperti yang dilakukan oleh KADA.

Beliau berkata, masalah utama yang dihadapi oleh petani daerah itu ialah sistem pengairan dan perkara itu jarang berlaku di kawasan kendalian agensi tersebut.

“Saya menyeru kepada Kerajaan Pas Kelantan supaya mema­sukkan perkara ini dalam agenda mesyuarat Exco kerajaan negeri bagi mendapat kelulusan bagi mewartakan kawasan jelapang padi Machang di bawah KADA.

“Hal ini membolehkan pihak KADA menyalurkan peruntukan antaranya dari segi penambahbaikan sistem pengairan sekali gus membolehkan pesawah dapat melakukan kerja mereka de­ngan baik dan ini akan memberi keuntungan kepada rakyat serta negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan sumbangan benih padi anjuran Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pulau Chondong bernilai RM20,000 kepada petani dalam program Turun Padang Menabur Benih Padi di Bendang Telaga Tujuh, Machang di sini semalam.

Sementara itu, Ahmad Jazlan yang juga Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, generasi muda harus mengambil peluang ini untuk turut sama bertani agar kegiatan tersebut tidak lupus ditelan zaman.

“Saya menyeru agar generasi muda walaupun berkelulusan tinggi agar mencuba pekerjaan ini terutama bagi mereka yang memiliki ilmu berkaitan pertanian.

“Janganlah kita sia-siakan pe­luang yang ada didepan mata. Kita khuatir jika kawasan ini terbiar dan berlaku pembaziran sedangkan ia dapat mendatangkan keuntungan di dunia dan akhirat,” ujarnya.
Sumber: Utusan Malaysia | Wilayah - Kelantan | 10 Julai 2017 | Terbitan 11 Julai 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan