SATU tajuk utama perbincangan perantau masyarakat Kelantan sepanjang sambutan Aidilfitri baru-baru ini ialah mengenai kesesakan jalan raya yang dilalui mereka bagi menyambut hari raya di kampung halaman.
Tajuk ini sebenarnya isu ulangan dan berlarutan hampir setiap tahun sejak akhir-akhir ini.
Isu kesesakan jalan raya bukan hal yang direka-reka tetapi satu pengalaman semakin menjadi 'ngeri' bagi sesetengah perantau. Ada antara mereka perlu menghabiskan waktu dalam kesesakan jalan raya antara 15 hingga 20 jam bagi perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu.
Banyak usaha dilakukan pihak kerajaan bagi memberi kemudahan perjalanan kepada rakyat di sebelah Pantai Timur Semenanjung. Pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur (LPT) misalnya amat membantu sebagai pilihan perjalanan ke Kota Bharu. Pilihan lain yang menjadi kebiasaan perantau ialah laluan menerusi Bentong, Raub dan Kuala Lipis.
Kemudahan lebuh raya Kuala Lipis ke Gua Musang yang siap beberapa tahun lalu banyak mengurangkan kesesakan dan memendekkan perjalanan. Kesesakan di sepanjang laluan di negeri Pahang menuju ke Kelantan ini juga terjadi pada waktu tertentu dan boleh dipertimbangkan.
Namun, kesesakan yang amat mencabar biasanya dihadapi apabila kenderaan mula memasuki perjalanan dari Gua Musang ke Kota Bharu dan laluan dari Pasir Putih ke Kota Bharu bagi yang menggunakan kemudahan LPT. Pertambahan kenderaan yang mendadak, terutama pada hari-hari puncak, akan mengundang ngeri kepada pemandu.
Orang ramai yang ingin memulakan perjalanan pergi dan balik ke Kota Bharu pada musim perayaan perlu melakukan 'mind setting' atau persediaan minda awal bagi menghadapi kemungkinan kesesakan dalam perjalanan. Malah beberapa hari sebelum memulakan perjalanan, perantau biasanya akan membuat perbualan tinjauan sesama rakan mereka waktu-waktu yang selamat bagi memulakan perjalanan.
Banyak syor dan nasihat yang akan diperoleh antaranya cadangan bertolak pada awal pagi dan di pertengahan malam dengan harapan untuk lari daripada cabaran kesesakan. Begitulah tabiat dan budaya perjalanan yang dilakukan perantau. Walau apa pun, kebiasaannya, mereka harus juga menempuh waktu-waktu sukar kesesakan sebelum tiba ke destinasi dituju.
Jelas, kemudahan infrastruktur jalan raya sedia ada di Kelantan pada masa ini tidak lagi mampu menampung pertambahan kenderaan. Di sesetengah tempat seperti persimpangan Kuala Krai ke Tanah Merah, laluan jalan raya kecil dan sering menjadi punca kesesakan selama berjam-jam lamanya. Banyak kerugian masa perlu dihabiskan di sekitar persimpangan laluan itu sebelum kenderaan boleh bersurai ke destinasi lain.
Perlu diberi perhatian
Pengalaman kesesakan yang dialami perantau ini perlu diberi perhatian oleh pihak bertanggungjawab. Kita yakin, Jabatan Kerja Raya (JKR) sudah mengenal pasti lokasi utama yang menjadi punca kesesakan kerana fenomena ini bukan suatu yang baharu. Langkah penyelesaian hendaklah disegerakan bagi memastikan keadaan kesesakan tidak berulang.
Rakyat amat mengharapkan projek penambahbaikan jalan raya sedia ada diberi keutamaan oleh pihak Kerajaan Pusat dan negeri. Projek asas seperti pelebaran jalan sedia ada, pembangunan laluan jejantas dan penyediaan sistem lampu isyarat pada persimpangan tertentu hendaklah dikenal pasti segera dan diberi keutamaan. Projek ini banyak boleh membantu mengatasi kesesakan pada masa akan datang.
Di samping itu, projek lebuh raya baharu bagi menghubungkan Kota Bharu ke Kuala Krai dan Gua Musang yang sedang dirancang dan dilaksanakan, wajar dipercepatkan. Hal ini perlu dibangkitkan supaya ia tidak lagi terbantut oleh apa juga faktor yang tidak berkaitan. Projek lebuh raya itu apabila siap nanti dan digandingkan dengan projek penambahbaikan jalan raya sedia ada, akan banyak membantu mengurangkan kesesakan dan menggerakkan ekonomi masyarakat.
Perlu dinyatakan persoalan keperluan melipatgandakan pembangunan kemudahan infrastruktur jalan raya di Kelantan ini tidak sahaja bagi tujuan mengatasi kesesakan ketika musim perayaan. Hakikatnya, ia juga adalah strategi berganda bagi mendorong dan memangkin kemajuan ekonomi negeri. Kemudahan infrastruktur jalan raya boleh menjadi strategi mapan bagi menggerakkan industri berkaitan, terutama menggalakkan sektor pelancongan, pertumbuhan kegiatan pertanian, pembuatan dan peruncitan.
Kemajuan dalam sektor ini boleh menjadi tonggak kepada pembukaan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan, mengatasi pengangguran dan merendahkan kadar penghijrahan. Kepulangan perantau yang ramai pada musim perayaan adalah petunjuk fenomena penghijrahan yang menjadi budaya hidup masyarakat Kelantan.
Tanpa menafikan kebaikan budaya ini pada sudut tertentu, penghijrahan berleluasa rakyat memberi kesan negatif juga terhadap kesediaan sumber tenaga bagi pembangunan ekonomi negeri. Dari perspektif ekonomi, kekurangan jumlah penduduk secara langsung merencatkan aliran pertumbuhan ekonomi tempatan apabila permintaan pasaran berkurangan. Ia juga menjejaskan peluang pelaburan besar untuk kemajuan negeri.
Dana khas infrastruktur
Kita ingin menganjurkan supaya Kerajaan Pusat menyediakan satu dana khas bagi pembangunan infrastruktur jalan raya di Kelantan, terutama bagi projek penambahbaikan jalan raya sedia ada di samping meneruskan projek seumpamanya yang sudah diluluskan. Dana khas infrastruktur jalan raya ini akan memberi sumbangan besar kemajuan ekonomi dan kesejahteraan rakyat secara menyeluruh.
Menerusi pengenalan dana khas ini, tanggapan yang mengatakan rakyat Kelantan dianaktirikan atau gambaran, iaitu Kelantan sebagai negeri yang menjadi mangsa pertembungan politik antara Kerajaan Pusat dan negeri akan dapat diatasi dan dihapuskan. Tanggapan dan gambaran ini penting untuk diatasi bagi memenangi hati rakyat Kelantan. Pada alaf baharu ini, budaya politik akan tertumpu kepada kumpulan yang mampu memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat dan tidak lagi tertumpu kepada persaingan dari segi ideologi.
Penyediaan perkhidmatan jalan raya terbaik kepada rakyat Kelantan barangkali boleh menjadi penyejuk hati yang berkesan terutama terhadap perantau yang sering berdepan kesulitan apabila pulang berhari raya di kampung halaman.
Sumber: Berita Harian | Komentar | Oleh Dr. Muhamad Razak Idris | 14 Julai 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan