Alwi
Che Ahmad (kanan) melihat tugu perdu kayu balak yang dibina di Kemubu,
Kelantan, baru-baru ini.
|
KOTA BHARU: Bagi memperingati banjir besar yang terburuk dalam sejarah negeri ini atau lebih dikenali Bah Kuning pada 26 Disember 2014, sebuah tugu peringatan dibina di tepi Sungai Kelantan di Kemubu di sini oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kok Lanas, Datuk Md. Alwi Che Ahmad.
Tugu itu dibina dengan perdu kayu balak yang dihanyutkan dalam malapetaka tersebut dan ditemukan berhampiran Jalan Kuala Krai-Gua Musang di Simpang Empat, Laloh, Kuala Krai dekat sini.
Ketika bencana tersebut, ratusan batang kayu balak telah dibawa oleh arus deras dan ditemukan di seluruh daerah Kuala Krai terutama di Laloh.
Malah daerah Kuala Krai seperti padang jarak padang tekukur apabila hampir semuanya ranap dilanda arus deras dan kayu balak, serta kenderaan turut tersadai dan menindih antara satu sama lain.
Menurut Md. Alwi, tunggul balak tersebut telah diangkut sejauh kira-kira 80 kilometer dari Laloh ke Kemubu, di sini.
“Tugu ini adalah simbolik untuk memperingati malapetaka yang berpunca daripada kerakusan manusia yang memusnahkan alam semula jadi.
“Tugu ini juga akan mengingatkan semua pihak dan generasi akan datang tentang malapetaka yang pernah melanda negeri ini,” katanya.
Mengikut rekod Jawatankuasa Bersama Banjir Negeri Kelantan, terdapat sebanyak 1,827 buah rumah musnah sepenuhnya akibat bencana banjir di negeri ini dan daripada jumlah itu, kira-kira 1,200 mangsa tidak memiliki tapak rumah.
Sumber: Utusan Malaysia | Nasional | 6 Julai 2017 | Terbitan 7 Julai 2017
Tiada ulasan:
Catat Ulasan