Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 18 Julai 2017

2,900 jemaah dari Kelantan tunai ibadah haji tahun ini

KOTA BHARU: Sejumlah 2,900 jemaah haji dari Kelantan terpilih untuk menunaikan ibadah haji pada tahun ini, kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji Datuk Seri Johan Abdullah.

Jumlah jemaah meningkat 80 peratus berbanding 1,600 jemaah pada tahun lepas.

"Peningkatan ini berikutan kuota 30,200 jemaah yang diluluskan oleh Kerajaan Arab Saudi untuk Malaysia pada tahun ini berbanding hanya 23,000 jemaah bagi kuota tahun sebelumnya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Kursus Perdana Haji 2017 Peringkat Negeri Kelantan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, di sini malam ini.

Johan berkata amat penting bagi kesemua jemaah haji agar menjaga kesihatan berikutan keadaan cuaca yang dijangka boleh mencecah sehingga 50 darjah Celsius.

Beliau berkata jemaah haji juga dinasihatkan supaya sentiasa menjaga keselamatan diri dengan mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh Tabung Haji dan Kerajaan Arab Saudi.

"Kita sedia maklum keadaan geopolitik di negara-negara Arab amat berbeza ketika ini berikutan terdapat serangan kumpulan Daesh dan militan lain, jemaah kita perlu menjaga keselamatan dan menghindari kumpulan tersebut," katanya.

Sumber: Bernama | 14 Julai 2017

Tiada ulasan:

Catat Ulasan