Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Rabu, 18 Disember 2013

Fasa 10 LPT 2 siap ikut jadual - AlloyMtd

KUALA LUMPUR: Kumpulan AlloyMtd (AlloyMtd), yang merupakan antara syarikat yang terlibat dengan Lebuh Raya Pantai Timur Fasa 2 (LPT 2) hari ini menjelaskan projek di bawah kelolaannya telah berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual yang ditetapkan kerajaan.

AlloyMtd hanya terlibat dalam Fasa 10 iaitu dari Bukit Besi hingga Telemung di Terengganu sejauh 64 kilometer (km) atau 30 peratus daripada keseluruhan LPT 2 yang menghubungkan Jabur, Pahang hingga Kuala Terengganu sejauh 194 km.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif AlloyMtd, Datuk Azmil Khalid berkata, LPT 2 telah beberapa kali distruktur semula oleh kerajaan dan akhir sekali 70 peratus projek berkenaan telah diuruskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), manakala selebihnya oleh Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

"Bahagian yang diuruskan oleh LLM iaitu Fasa 10 telah dibangunkan oleh AlloyMtd. Projek bermula pada 2004 dan dijadualkan siap pada 2009 tetapi disebabkan beberapa perkara teknikal tarikh tersebut telah dilanjutkan hingga ke November 2012 dengan kebenaran kerajaan.

"Bagaimanapun, AlloyMtd telah berjaya menyiapkan Fasa 10 tersebut lebih awal iaitu pada Mei 2012," katanya kepada pemberita bagi mengulas mengenai Laporan Audit Negara yang menyatakan projek LPT 2 tidak dapat disiapkan dalam tempoh yang sepatutnya sehingga menyebabkan kos meningkat.

Azmil berkata, Fasa 10 LPT 2 tidak lewat dan penundaan tarikh siap adalah berdasarkan prosedur dan diluluskan oleh kerajaan berdasarkan dua faktor iaitu perubahan yang diminta oleh kerajaan dan perubahan yang perlu dibuat berdasarkan kajian yang dibuktikan.

"Untuk Fasa 10, kerajaan membuat perubahan dengan meminta dibina sebuah jambatan di Sungai Cepoh dan mengarahkan AlloyMtd mengawasi kontraktor yang terlibat dengan projek pembinaan dua plaza tol.

"Disebabkan perubahan berkenaan, kerajaan telah meluluskan lanjutan tempoh masa (EOT) projek tersebut. EOT juga boleh dipohon jika keadaan struktur tanah yang memerlukan lebih banyak kerja-kerja pembinaan melalui bukti kajian," katanya.

Jelas beliau, Fasa 10 merupakan kawasan yang memiliki struktur tanah paling sukar untuk keseluruhan LPT 2, tetapi AlloyMtd telah berjaya menyiapkannya mengikut jadual dengan nilai projek RM1.4 bilion.

"Jika AlloyMtd lewat sudah tentu syarikat kami akan didenda tetapi ini tidak berlaku. Fasa lain yang meliputi 70 peratus LPT 2 ketika ini masih belum disiapkan oleh kontraktor yang terlibat dan ini secara tidak langsung memberi memberi tempias persepsi negatif orang ramai terhadap syarikat kami," katanya lagi.

Beliau berkata, AlloyMtd mempunyai rekod yang baik dan telah dibuktikan semasa projek LPT 1 yang berjaya disiapkan mengikut jadual dan ketika ini keseluruhan projek dikelolakan oleh syarikat.

"AlloyMtd telah beroperasi di 15 buah negara dan kejayaan ini tidak mampu dicapai jika kami tidak mempunyai rekod yang baik," jelasnya.

Sumber: Utusan Malaysia | Bisnes | 12 Dis. 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan