Kota Sultan Ismail Petra

Kota Sultan Ismail Petra
Kota Sultan Ismail Petra di Zon Budaya di pusat bandar raya Kota Bharu, Kelantan, Malaysia.

Selasa, 17 Disember 2013

Terengganu minta Kerajaan Pusat tambah penerbangan bagi tingkat kedatangan pelancong


Kompleks bangunan terminal Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), Kuala Terengganu, Terengganu.
KUALA TERENGGANU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu hari ini diberitahu kerajaan negeri akan berbincang dengan kerajaan pusat untuk menambah jumlah penerbangan ke negeri itu dalam usaha meningkatkan kedatangan pelancong.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee berkata setakat ini, sebanyak 12 penerbangan masuk ke Terengganu setiap hari dan ia masih belum mencukupi.

"Kita sasar kedatangan seramai lima juta pelancong ke negeri ini sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM 2014) tahun depan, namun ketiadaan penerbangan antarabangsa terus ke Terengganu adalah antara faktor yang mengurangkan akses kemasukan pelancong dari negara luar.

Mohd Jidin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN-Permaisuri berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Mohd Mahdi Musa (BN-Kota Putera) mengenai langkah kerajaan negeri berganding bahu dengan kerajaan pusat untuk meningkatkan jumlah kedatangan pelancong ke Terengganu.

Katanya, daripada 12 penerbangan masuk sehari tiga dikendalikan Malaysia Airlines; dua penerbangan Air Asia, empat penerbangan Firefly dan tiga penerbangan Malindo Air.

Mengulas lanjut, Mohd Jidin berkata sehingga Nov lalu, jumlah kedatangan ke Terengganu telah pun mencapai sasaran empat juta.

"Kerajaan negeri akan meneruskan kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan untuk menarik kehadiran lebih ramai pelancong termasuk menganjurkan pelbagai program dan aktiviti peringkat kebangsaan dan antarabangsa di seluruh negeri.

"Antara aktiviti yang disusun untuk mempromosikan Terengganu termasuk penyertaan dalam World Travel Market di London yang menghimpunkan produk serta tarikan pelancongan dari seluruh dunia; Festival Candat Sotong Antarabangsa; Festival Gamelan Sedunia; Festival Tasik Kenyir dan International Rainforest Challenge," katanya.

Sumber: BERNAMA | 11 Dis. 2013

Tiada ulasan:

Catat Ulasan